altKUALA LUMPUR, 24 April – Datuk Seri Najib Tun Razak terus komited untuk melakukan pembaharuan dalam UMNO apabila melakukan perubahan pucuk pimpinan di lapan negeri. Malah lima daripada lapan negeri terbabit menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.

Presiden UMNO itu sendiri mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin UMNO Wilayah Persekutuan. Semua tiga Naib Presiden UMNO buat pertama kali turut diberi tanggungjawab menerajui UMNO negeri dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memimpin Terengganu bagi menggantikan Datuk Ahmad Said. Ahmad dilantik sebagai timbalan. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengambilalih teraju Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sementara Datuk Seri Shafie Apdal diberi tanggungjawab untuk mengemudi UMNO Kedah. Tiga lagi negeri iaitu Kelantan diterajui oleh Datuk Mustapa Mohamad, Perak oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Perlis oleh Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Pengumuman yang dibuat oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat pertama kali selepas pemilihan parti Mac lalu itu sekali gus menyaksikan beberapa nama digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (Selangor) dan Tan Sri Annuar Musa (Kelantan).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dikatakan akan digugurkan pula kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bukan bermakna parti tersebut ketandusan pemimpin. “Naib Presiden layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan. Kalau dia jadi Naib Presiden tak kan dia tak boleh jadi pengerusi perhubungan? “Itu ikut atas pertimbangan saya, ada keperluan dilantik Naib Presiden, kita lantiklah,” jelasnya.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut mengumumkan pelantikan 12 ahli MT termasuk masing-masing satu wakil
daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Antara yang kembali dilantik menganggotai MT ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz. Turut di lantik ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjadi satu-satunya Menteri Besar yang dilantik ke jawatan MT. “Menteri Besar yang tidak dilantik akan dijemput hadir sebagai antara yang turut hadir dalam mesyuarat MT,” jelas Najib.
Najib turut mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung dan melantik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari Agung yang baru menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi. Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan pula dilantik Ketua Penerangan UMNO bagi menggantikan Muhammad. Mengenai pelantikan semula Rafidah dan Shahidan, Najib berkata: “Mereka boleh beri sumbangan pada parti, jadi kita ada kesinambungan dan kita ada pembaharuan.”

Sumber : Utusan Malaysia, 25/04/09

Hanya tukar posisi pemain. Itukah pembaharuan namanya?

Apakah ini dikatakan suatu pembaharuan? Hakikatnya UMNO masih sama. Akar perjalanan UMNO masih sama.Apakah rakyat boleh mengharapkan sesuatu yang baru dengan hanya pertukaran posisi pemain sahaja namun corak permainan dan sistemnya masih sama? Masyarakat yang rasional akan nampak jawapannya! Seharusnya, asas sesebuah parti politik yang dianggotai oleh orang Islam, seperti UMNO, mestilah Islam dan aktivitinya juga mestilah merupakan aktiviti yang berlandaskan kepada Islam sesuai dengan firman Allah SWT:

”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ Ali 'Imran (3) : 104].

Malangnya sehingga ke hari ini UMNO yang ahlinya terdiri dari majoritinya orang Islam masih lagi menjadi parti
yang mendokong dan mempertahankan undang-undang sekular kufur Lord Reid sejak 52 tahun yang lalu di mana kita sebagai seorang Islam telah dapat menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri bagaimana undang-undang ciptaan manusia itu masih kukuh dipertahankan oleh UMNO dan sekutu-sekutunya. Kita boleh menyaksikan sendiri hasil penerapan sistem kufur ini sehingga saat ini - 1001 satu macam masalah berlaku di dalam masyarakat. Keadaan semakin kronik hari demi hari dan akan terus berkekalan selama mana sistem busuk ini masih diterapkan. Apakah para pemimpin UMNO dan para ulama yang berada di dalam UMNO itu tidak memahami perintah Allah SWT :

”Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ Al Baqarah (2) :208].

”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) :49-50].

Terlalu banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang secara qat’i memerintahkan umat Islam khususnya para pemerintah umat Islam untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan secara individu, masyarakat dan negara. Untuk itu UMNO akan hanya layak dikatakan melakukan pembaharuan jika asas perjuangannya ditukar kepada Islam dan asas lamanya, ashobiyyah, dicampakkan jauh-jauh.

Selepas melakukan semua ini, barulah boleh diharapkan agar pembaharuan yang diinginkan oleh UMNO itu akan benar-benar berlaku dan mereka akan termasuk ke dalam golongan yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat.

Post a Comment

Previous Post Next Post