Hukum melibatkan diri di dalam pilihan raya
Solan Fiqh : Saya ingin bertanya pendapat Hizbu Tahrir tentang proses pengundian dalam sistem demokrasi, kerana banyak khabar angin yang saya dengar bahawa Hizbu Tahrir mengharamkannya, adakah ianya benar? Untuk mengelak kekeliruan saya meminta Hizbu Tahrir menjelaskan secara terbuka tentang masalah ini.
Jawapan Kami
Pada 8hb Mac ini, rakyat Malaysia akan keluar mengundi. Dalam kesibukan pilihan raya ini, timbullah di kalangan kaum Muslimin di Malaysia pelbagai pandangan mengenai urusan ini. Fatwa dan pandangan terdengar di sana-sini mengenai pilihan raya dan hukum melibatkan diri dengannya. Ada yang mewajibkannya, dengan menggunakan pelbagai dalil bagi menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi dan ada yang mengharamkannya kerana mengikut dakwaan mereka perkara ini tidak pernah ada pada zaman Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Bagi menjawab persoalan mengenai hukum melibatkan diri dengan proses pilihan raya, kami hidangkan artikel ini, yang diharap akan dapat merungkai persoalan tersebut dengan dalil yang sahih dan hujah yang mantap.
Untuk mengetahui hukum syarak mengenai masalah pilihan raya ini, kita perlulah mengkaji terlebih dahulu realitinya (tahqiq al-manat). Pilihan raya yang akan dijalankan nanti pada hakikatnya adalah merupakan pemilihan ahli-ahli majlis tasyrik yakni majlis yang akan menggubal undang-undang. Ia juga dikenali sebagai majlis perwakilan (ahli parlimen dan DUN) dan hakikatnya, adalah merupakan fungsi utama dan autoriti majlis ini untuk menjalankan penggubalan undang-undang. Maka sudah tentulah hukum syarak bagi realiti ini harus digali. Artikel ini akan cuba menjelaskan hukum syarak mengenai penyertaan di dalam pilihan raya dan berdalil dengan suara majoriti.
Pilihan raya merupakan suatu bentuk perwakilan (wakalah). Oleh itu, ia haruslah mematuhi semua syarat-syarat dan rukun akad wakalah agar akad ini menjadi akad yang sahih di sisi syarak. Ini melibatkan penglibatan beberapa aspek - ijab dan kabul, pihak yang diwakili, pihak yang menjadi wakil, perkara yang harus dilakukan oleh wakil dalam urusan perwakilan ini dan bentuk (sighah) perwakilan tersebut.
Majlis perwakilan, berdasarkan peruntukan di dalam perlembagaan di kebanyakan negeri kaum Muslimin , bertanggungjawab menjalankan beberapa fungsi utama. Antaranya adalah menggubal undang-undang, melantik ketua negara atau membatasi calon-calon ketua negara, memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintah (dalam urusan pemerintahan), mengesahkan pelbagai undang-undang, persetujuan dan perjanjian serta mengawasi dan memuhasabah pemerintah negara.
Adapun mengenai penggubalan undang-undang, ia merupakan aktiviti yang tidak dibolehkan bagi seorang Muslim untuk melakukannya, tidak kira sama ada ia terlibat secara langsung dalam penggubalan ataupun terlibat dalam pengundian (sokong atau tidak), meskipun undang-undang yang digubal itu ‘selari’ dengan hukum Islam yang mulia. Ini adalah kerana, ketika hukum Islam diambil dan dirujuk, ia didasari dengan dalil syarak yang terpancar dari aqidah Islam yang diwahyukan Allah. Seseorang Muslim tidak dibolehkan membuat undang-undang, malahan adalah wajib baginya untuk menerima syariat Allah sahaja dan bukan yang lain, tidak kira sama ada ia dipersetujui ramai atau tidak. Oleh itu, hak untuk membuat undang-undang (hukum) hanyalah terletak pada Allah semata-mata. Tidak ada sesiapapun yang berhak meletakkan dirinya setara dengan Allah ‘Azza wa Jalla dalam membuat undang-undang. Allah berfirman:
“…hanya Allah jualah yang menetapkan hukum…..” [TMQ Al-an’aam (6) :57]
” Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” [TMQ Al-Nisa’ (4):65]
” Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” [TMQ Al-nahl (16) :116]
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Salam juga bersabda kepada Adi bin Hatim,
“Tidakkah mereka itu menghalalkan bagi mereka apa yang telah diharamkan (oleh Allah) dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan?”, dan Adi berkata, ”Ya”, maka Rasulullah berkata, ”Maka mereka itu telah menyembah (rahib dan pendeta) mereka”
Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah membacakan ayat di bawah kepadanya.
”Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah” [TMQ Al-Taubah (9) :31]
Hakikatnya, majlis perwakilan ini adalah majlis yang menjadikan demokrasi Barat sebagai ikutannya. Ia menjadikan prinsip ‘kedaulatan di tangan rakyat’ sebagai prinsip utama. Prinsip ini meletakkan rakyat (manusia) sebagai satu-satunya institusi yang boleh menentukan hukum ke atas benda dan perbuatan, sama ada buruk atau baik. Apa yang dilihat oleh rakyat sebagai buruk, maka buruklah ia dan apa yang dilihat oleh rakyat sebagai baik, maka baiklah ia. Prinsip ini dijadikan sebagai autoriti yang tertinggi dalam demokrasi, sistem kufur yang bertolak belakang dari Quran dan Sunnah.
Adapun dalam memberikan kepercayaan kepada pemerintahan sekular yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, memilih pemimpin negara serta mengesahkan pelbagai undang-undang, perjanjian dan persetujuan, seorang Muslim tidak dibolehkan terlibat dengannya. Seorang Muslim tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan selain dari hukum Allah. Seorang Muslim juga tidak boleh terlibat dalam mengesahkan apa-apa perjanjian yang dibuat atas dasar kufur kerana ini akan menyebabkan kaum kuffar diberikan jalan-jalan untuk menguasai negeri kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah berfirman:
”..dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk (membinasakan) orang-orang yang beriman” [TMQ Al-Nisa’ (4) :141]
Mengenai fungsi mengawasi negara dan memuhasabah para pemerintah, ini merupakan suatu kewajiban syarak ke atas kaum Muslimin dalam menjalankan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar. Ini adalah merupakan hak dan kewajiban majlis perwakilan untuk menjalankannya. Oleh itu (untuk hak dan tanggungjawab ini dijalankan oleh seseorang ahli majlis perwakilan), terdapat syarat-syarat syar’i yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang ingin mencalonkan dirinya untuk pilihanraya majlis perwakilan. Pencalonan hendaklah berpandukan kepada syarat –syarat ini, namun ia (syarat-syarat ini) tidak boleh dijadikan sebagai kebenaran (untuk pencalonan) secara mutlak. Syarat-syarat tersebut adalah:
- Ia haruslah mendeklarasi dengan jelas dan lantang (tidak cukup dengan niat dan tidak dibolehkan berpura-pura) bahawa ia menolak sistem kapitalisme Barat dan kesemua sistem kufur.
- Ia haruslah mendeklarasi bahawa fungsinya di parlimen adalah untuk mengubah sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam.
- Ia akan berkempen hanya dengan apa yang diambil dari Quran dan sunnah Rasul.
- Ia haruslah mendeklarasi bahawa ia akan menggunakan parlimen sebagai platform untuk berdakwah kepada Islam.
- Ia tidak akan masuk dalam pencalonan (parti) sekular, mahupun bekerjasama dengan mereka, kerana mereka ini adalah penyokong kepada sistem kufur.
- Ia tidak dibolehkan merapatkan diri dengan badan eksekutif dan judikatif (dengan mereka yang menerapkan (hukum) serta mereka yang terlibat dengan perundangan) dan memasukkan namanya sebagai calon untuk tujuan bermanis muka dengan badan-badan ini yang merupakan sandaran bagi mereka yang berlaku zalim. Allah berfirman: ”Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [TMQ Hud:113]
- Bahawa kempennya di sepanjang waktu pencalonannya ini bertujuan agar umat manusia memahami objektif-objektif yang telah disebutkan di atas.
Berdasarkan apa yang telah kami jelaskan, kami berpandangan bahawa sebahagian besar dari fungsi ahli-ahli majlis perwakilan melibatkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka untuk melakukannya. Ini termasuklah fungsi menggubal undang-undang yang bertolak belakang dari Quran dan Sunnah, fungsi melantik ketua negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah, memberikan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan hukum yang bukan diturunkan oleh Allah dan mengesahkan pelbagai perjanjian dan persetujuan yang dibina atas dasar kufur, membolehkan pihak kuffar untuk menguasai kaum Muslimin. Mana-mana calon yang dicalonkan sebagai ahli majlis perwakilan untuk menjalankan fungsi-fungsi ini sesungguhnya telah berdosa dan kaum Muslimin tidak dibolehkan untuk membantu mereka, memilih mereka mahupun mengucapkan tahniah kepada mereka sekiranya mereka berjaya.
Bagaimanapun, terdapat satu fungsi dari fungsi-fungsi ahli majlis perwakilan yang diperintahkan oleh syarak. Dan bagi menjalankan fungsi ini, dibolehkan seorang Muslim untuk terlibat di dalam pilihan raya. Namun begitu, ia hanya dibolehkan sekiranya pencalonan ini berpandukan syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas. Fungsi ini adalah fungsi memuhasabah pemerintah dan negara sekiranya ia menjalankan perkara yang menyalahi hukum syarak. Malah, ahli majlis perwakilan harus menjadikan parlimen sebagai platform dalam usaha untuk menghancurkan sistem, perlembagaan dan undang-undang yang dibina di atas asas kekufuran. Parlimen juga akan dijadikan sebagai platform untuk mengingatkan manusia bahawa kewujudan undang-undang dan negara yang diasaskan atas dasar ini merupakan suatu kemungkaran, bahkan ia merupakan induk dari segala kemungkaran dan wajib dicabut, dan dibina di atasnya Daulah Islam yang akan berhukum dengan hukum Allah. Daulah yang dimaksudkan ini adalah Daulah Khilafah Rasyidah yang didirikan atas jalan kenabian.
Seseorang yang ingin menjalankan fungsi yang mulia ini tidaklah perlu merasa terkilan sekiranya tidak berjaya menjadi ahli parlimen tersebut kerana sesungguhnya, platform untuk menjalankan fungsi ini (dakwah kepada Islam) terdapat di mana-mana dan tidak hanya terbatas di parlimen sahaja. Bahkan dengan menjadi ahli parlimen, seorang Muslim itu mungkin akan berubah akibat pelbagai godaan dan kesempitan, lantas mengganggu konsistensi dan keikhlasannya dalam menjalankan dakwah hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Wahai kaum Muslimin,
Sesungguhnya Islam mewajibkan ke atas kita untuk muhasabah para pemerintah dan mengubah mereka melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam, yakni dengan peperangan pemikiran (sira’ul fikr) dan penentangan politik (kifah siyasi) sekiranya hukum yang dijalankan adalah selain dari hukum Allah. Sekiranya ini tidak kita lakukan, maka pastilah situasi kita akan menjadi semakin buruk dan Allah akan menghukum kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya mengubah keadaan (kaum Muslimin) sekarang bukanlah suatu yang mustahil, seperti mana yang kerap digembar-gemburkan oleh mereka yang jahil, pengecut dan dalam kesesatan. Mengubah suasana ini merupakan suatu yang mampu dilakukan oleh umat Islam sekiranya umat ini bertawakal kepada Allah dan menjalankan apa yang telah diwajibkan Nya ke atas kaum Muslimin. Janganlah rasa putus asa menghambat diri kita sehingga kita berdiam diri dengan sistem kufur yang mendominasi kita. Janganlah kita membiarkan segala ilusi (bahawa kita tidak akan dapat berubah) ini mengalihkan pandangan kita dari berusaha untuk mengubah situasi umat dan melanjutkan kehidupan Islam serta menyebarkan Islam ke seluruh dunia melalui Daulah Khilafah yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin. Umat ini, Insya Allah akan disatukan di bawah seorang pemimpin dan kibaran bendera Islam yang satu di mana negeri-negeri kaum Muslimin yang bertaburan akan disatukan dan umat Islam akan dibebaskan dari ketidakadilan sistem (kufur) yang rosak kepada keadilan Islam. Maka akan wujudlah negara yang satu, Khilafah Rasyidah, yang menerapkan Islam dan menegakkan jihad sehinggalah Islam mendominasi dan mengatasi segala din (cara hidup) yang lain.
” Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”
[TMQ Al-Rum (30) :4-6]