SHEIKH Muhammad Ahmad Ar Rashid dalam karyanya yang terkenal, Al-Muntalaq menceritakan perihal anak-anak muda, generasi muslimin pada masa ini yang seolah-olah menjadi anak-anak singa yang diubah menjadi kijang-kijang yang pengecut.
Beliau merumuskan tentang satu generasi yang melupakan sejarah keagungan lampau umatnya.
Suatu umat jihad yang mencintai kebenaran telah dimomokkan dengan idea-idea dan pemikiran yang palsu sehingga mereka melupai sejarah kemenangan umatnya.
Mereka kini dididik supaya menjadi materialistik hingga akhirnya kebanyakan mereka dangkal fikirannya. Jika ada yang mempunyai kesedaran ingin membangunkan masyarakat, banyaknya yang berlandaskan idea-idea yang bukan berdasarkan neraca Islam.
Anak-anak muda pada hari ini sebenarnya hamba. Mereka pula gemar pada perhambaan. Alat-alat yang digunakan untuk menjadikan hamba gembira dengan perhambaan itu banyak sekali pada hari ini. Namun, salah satu alat yang begitu besar impaknya ialah bahan lucah, pornografi.
Pornografi ia suatu wabak, penyakit dan suatu gejala yang unik.
Budaya kelucahan melampau ini telah melanda muda-mudi umat dengan suatu badai yang sangat dahsyat sekali. Dahulu, mungkin tidak pernah terbayang di benak fikiran sesiapa pun untuk membaca kisah seorang remaja dirogol belasan lelaki.
Tapi, berita sejenis dengan itu selalu timbul pada masa ini. Begitu juga dengan merogol kanak-kanak, seks luar tabii, dan macam-macam lagi gejala kelucahan melampau dalam masyarakat.
Dahulu, bila disebut pornografi, kita hanya akan terbayang video-video lucah yang dibawa dari Siam, Barat dan lain-lain. Siapa sangka pula kini anak kita sendiri yang membikin pornografi?!
Anak gadis kita begitu bangga sekarang merakam aksi bersama pasangan; gadis bertudung! Anak muda sudah berani mengeksperimen dengan telefon bimbit mereka. Hinggakan sekolah juga tidak terselamat daripada budaya kelucahan melampau ini.
Segenap lapisan masyarakat kini terlibat dan tertarik ke lembah pornografi ini. Daripada pelajar sekolah sehinggalah ahli politik. Media terus menerapkan budaya kelucahan sedikit demi sedikit ke dalam pemikiran masyarakat. Secara sedar atau tidak, media kita menjadi agen pornografi di tanah air.
Pergi sahaja ke vendor-vendor majalah dan akhbar jalanan dan nilai sendiri longgokan sampah sarap yang dijual secara terbuka kepada masyarakat. Maka, amat tidak peliklah jika kita lihat anak-anak muda hari ini semakin lalai dari landasan Islam.
Saudara, masih ingatkah kita suatu waktu dahulu ketika generasi 80-an masih lagi di peringkat sekolah? Kami ini ditanam dengan mentaliti bahawa Barat itu buruk. Globalisasi itu wabak dan budaya kuning penyakitnya.
Saudara, saya tinggal di negara blok Barat. Di sini, walaupun seks bebas itu menjadi norma, jarang sekali kedengaran pelajar-pelajar sekolah yang merakam kegiatan mereka. Jarang terdengar gadis dirogol belasan pemuda. Jarang sekali tabloid-tabloid yang mengandungi kelucahan terlampau dijual secara bebas seperti di Malaysia.
Maka saya persoalkan, sampai bilakah akan kita salahkan Barat tentang kepincangan akhlak yang melanda muda-mudi kita?
Kesimpulannya, pornografi telah berjaya melahirkan suatu generasi yang dilanda kelucahan melampau, kedangkalan minda, ketandusan akhlak dan kebendaan.
Bukanlah jarang dibaca tentang para pemudi yang membuat laporan polis mengenai bekas pasangan yang menyebarkan aksi terlarang mereka. Maka, kita fikirkan, apa telah jadi?
Ketika anak-anak gadis bertudung menjaja mahkota mereka dalam video-video Internet, apa perasaan kita?
Apa yang telah terjadi wahai saudara? Pornografi meracuni akal dan jiwa masyarakat. Apa yang telah terjadi? Lalu kita pula bersorak-sorai berbangga dengan masjid-masjid yang indah. Dan Islam sebagai agama rasmi dan pendidikan Islam di sekolah. Tapi soalnya, di mana dia roh itu?
Pokoknya, kita telah gagal dan akan terus gagal andai kita tidak mencari segera jalan pembaikan.
PENGEMBARA
Auckland, New Zealand
sumber : utusan
Sebuah tulisan yang sedap dibaca pada pangkalnya, tapi dihujung bergitu meloyakan. Apabila si Pengembara memuji Barat.
Sebenarnya penyakit yang menimpa umat adalah kerana virus pemikiran yang datangnya dari barat.
Kebejatan akhlak remaja sebenarnya bukan hanya berlaku di sini tetapi di Barat lebih buruk lagi...cuma mungkin si Pengembara belum habis menjelajah di lorong-lorong belakang tamaddun Barat. Sehingga beliau belum temui lagi keburukan-keburukan tersebut.
Wasalam.