Saturday, September 20, 2014

Pejalan Haji Part 3- Pengalaman Pertama Umrah Yang Mengujakan ( Tawaf dan Saie)

Assalamualaikum,

Barangkali anda diantara pembaca yang pernah menunaikan ibadah umrah, namun saya serba sedikit ingin berkongsi pengalaman pertama menjejakkan kaki di Masjidil Haram. Mana tidaknya, niat untuk mengerjakan umrah memang telah disematkan di dalam hati beberapa kali namun tidak sebabkan hal-hal yang tertentu, hajat tersebut tidak dapat di sempurnakan. Namun, berkat doa dan keinginan yang ada itu, Allah Maha Mendengar insannya yang meminta. Akhirnya Allah memberikan kad jemputan yang lebih besar yakni sebagai Tetamu Allah untuk mengerjakan Haji pada Tahun 1435H / 2014. Ini merupakan satu rahmat yang amat tidak terhingga akan saya dapat gambarkan, seperti tidak percaya mendapat panggilan untuk menunaikan Haji. 

Jemaah Malaysia bergerak dalam satu rombongan menuju ke Masjid Haram. Sepanduk menunjukkan no maktab 89 dipegang oleh 2 pekerja. Jemaah diingatkan untuk sentiasa berada dalam kumpulan dan tidak berpecah.


Saya menerima surat tawaran menunaikan haji pada awal tahun lalu, dan tanpa berfikir panjang terus saya sematkan di dalam hati untuk menunaikan Rukum Islam yang ke-5 ini. Andainya saya tangguhkan pemergian saya ke sana, entah bila lagi saya akan mendapat tawaran tersebut dengan izin-Nya. Selain itu masihkan saya bernyawa pada tahun hadapan 2015? Pasti kita tidak dapat menjawab persoalan ini bukan...ajal itu ditentukan oleh Allah dan hanya Dia-lah yang mengetahui segala-galanya. Itulah yang menjadi motivasi saya yakni;


Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud". 


Surah Al- Baqarah, Ayat 125
 
1. Tetamu Allah yang telah dipilih dan ditentukan oleh Allah
2. Ajal itu tidak siapa yang tahu, mungkin saya sudah tiada lagi tahun depan.
Ketibaan para jemaah Haji di dalam kawasan masjidil Haram. Kami akan melakukan tawaf di tingkat 2 memandangkan orang ramai dibahagian bawah.

Setelah sampai di Tanah Haram ini, barulah saya sedar memang amat memerlukan pada usia yang muda bagi menunaikan ibadah Haji. Kerana sepanjang saya di sini, stamina amatlah penting terutamanya kekuatan kaki kerana majoriti ibadah Haji ini memerlukan kekuatan kaki dan stamina. Berbalik pada pengalaman umrah pertama saya, kami berkumpul di lobi hotel pada jam 7.00pagi dan dibawah oleh mutawir macam pemandu pelancong. Tapi dalam hal ini pemandu untuk kami mengerjakan umrah, mutawwir ini memang dilantik dan dimestikan diamik daripada orang tempatan (Pak Arab). Kami ada dua maktab 89 and 88, maktab 88 jalan dulu menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah dan kami 89 bergerak di belakang. Perjalanan ke masjidil haram sejauh 950 meter, dan mengambil masa 30 min. Kami semua bertalbiah sepanjang menuju ke masjid, sebelum memulakan tawaf, kami berhenti bertalbiah dan terus melalukan tawaf dan sebagaimana ilmu yang telah dipelajari sebelum ini.

Rukun Umrah:
1. Niat Ihram
2. Tawaf ( 7 kali, mula/tamat di Hajar Aswad)
3. Saie (Safa ke Marwah, 7 kali)
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib

Tapi perasaan yang amat mengujakan saya adalah melihat kaabah di depan mata, yang selama ini lihat di TV atau gambar sahaja. Jelas begitu sayu melihat Kaabah yang menjadi simbolik penyatuan umat Islam di bawah satu akidah. Di sinilah semua bangsa dan negara bersatu dan bersolat ke arah yang sama, Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim sebagaimana menurut perintah Allah dan terdapat batu dari syurga di penjurunya. Memang tak jemu untuk saya melihat kaabah ini, setiap hari datang tengok kaabah tak bosan pun, inilah bukti kekuasaan Allah swt. Melihat Kaabah ini, terus memanjatkan doa kesyukuran kepada Allah swt kerana telah menunaikan hajat saya untuk datang ke Makkah dan menunaikan umrah dan seterusnya Haji. Allahuakbar !!!!

Alhamdulillah sekitar jam 10.00 pagi pada 12 September 2014 kami selesai menunaikan umrah yakni selesai melakukan tawaf dan sa'ei. Selesai umrah, saya terus balik ke hotel untuk menukar pakaian ihram dan berpakaian biasa kerana telah bertahallul, bebas dari 13 larangan dalam ihram. Sampai di hotel, selain menukar pakaian untuk solat Jumaat, juga untuk makan tengahari kerana sarapan pagi tadi hanya makan ringan sahaja. Namun menuju pulang ke hotel, dapat dilihat umat Islam telah mula ramai menuju ke masjid. Saya ingatkan ini merupakan perkara biasa orang disini atau orang luar datang awal ke masjid. Saya bergerak ke masjid jam 11.30 pagi, waktu zuhur masuk dalam jam 12.30 tengahari, memandangkan jarak waktu zuhur tidaklah jauh, rupanya tempat solat telah hampir penuh dengan jemaah lelaki dan juga perempuan. Di sini, perempuan juga solat Jumaat biarpun hanya sunat bagi mereka sebaliknya wajib bagi lelaki. Jadi berlaku kepadatan jemaah di masjid, ketika kami sampai di masjid, tidaklah lagi dapat masuk ke dalam dan di tutup oleh security masjidil haram.

Ada kalangan jemaah yang berusaha untuk masuk ke dalam masjid juga, namun dihalang maka kami kenalah solat di luar dengan cuaca yang panas. Suhu masa itu sekitar 42 celcius, memang sangat panas dan pertama kali merasai kepanasan demikian ketika solat Jumaat. Betapa berat lagi azab Allah di akhirat kelak, moga dengan kepayahan bersolat di tengah terikan matahari ini menjadikan saya lebih bersyukur dengan nikmat Allah selama ni. Mungkin ini memberikan saya sedikit muhasabah akan kekuasaan Allah dan bagaimana Rasulullah junjungan kita berdakwah menyebarkan Islam dulu di Makkah dan Madinah. Keperitan Muhammad saw memang tidak terhingga dalam menyebarkan Islam dan nikmat Islam itu kini saya rasai, ameen ya rabbal alamin.

Tawaf umrah pada 12 September 2014, dihadapan Kaabah yang menjadi simbol penyatuan seluruh umat Islam. Kebesaran Allah swt dan memanjatkan kesyukuran melihat Kaabah yang selama ini dicita-citakan.

Papan tanda menuju ke tempat saie Safa ke Marwah, sekarang tempat saie telah mempunyai 3 tingkat. Kami telah melakukan saie di tingkat 2.
Laluan lampu hijau, yang disunatkan untuk lelaki berlari-lari anak. Laluan hijau terdapat di kedua-dua laluan dari Safa ke Marwah dan Marwah ke Safa.

Tempat saie telah dinaiktarafkan untuk keselesaan jemaah, bagi aktiviti saie memang sangat selesa kerana keadaan yang berhawa dingin memastikan keselesaan untuk menunaikan rukun umrah ini. Kami perlu melakukan 7 pusingan dan berakhir di Marwah dan seterusnya bertahallul. Jadi untuk umat Islam menyelesaikan aktiviti ibadah ini dengan tawaduk dan terus merenung kebesaran Allah swt. Bila dalam keadaan berihram, kita dibawah 13 larangan, dan semua larangan itu menjadikan kita lebih merenung kebesaran Allah swt. Contohnya, berkenaan larang mengerat kuku atau bulu/rambut, kita seringkali tidak merenung kebesaran Allah swt yang menciptakan rambut dan bulu bagi kita. Namun bila berihram, sengaja atau pun tidak sengaja mengerak kuku kita akan tetap dikenakan dam, tambahan bagi sengaja adalah berdosa.

Sedikit tips ringkas untuk tawaf dan saie;
  1. Selipar jangan dibawa sekali ketika tawaf atau saie takut bernajis, akan tidak sah saie atau tawaf.
  2. Sekiranya ingin bawa, bolehlah basuh dahulu di tempat wuduk diluar masjidil haram. Masuk dalam sarung kasut dan simpan dalam beg.
  3. Elakkan mengunakan beg yang mudah dibuka, kerana ramai jemaah bertawaf jadi kemungkinan beg akan dibuka.
  4. Boleh gunakan pelbagai alat untuk mengira jumlah tawaf atau saie. Tapi saya hanya pakai gelung getah sebanyak 7 gelung, dipindahkan dari tangan kiri dan kanan sehingga selesai.
  5. Pastikan mengingat tempat masuk ketika pertama kali sampai di masjidil haram.
  6. Waktu puncak, amatlah sukar untuk membaca buku doa sambil bersaie atau bertawaf, maka dianjurkan bacalah apa sahaja yang diingat.

Sekian dulu kisah perkongsian saya untuk Pejalan Haji Part 3, moga boleh menjadi rujukan buat kita semua dan sebarang komen juga amatlah di alu-alukan dari pembaca sekalian.

Juga boleh melihat penulisan saya untuk part 1 dan 2 seperti link dibawah:


Sekian wassalam dari Masjidil Haram.


Google+ Followers