Wednesday, December 2, 2015

Travelog Korea 3: Tip ringkas Solat Jumaat di Bandar Seoul , Itaewon.

Assalamualaikum,


Di Korea ini,di antara kesulitan bagi mereka yang beragama Islam adalah untuk menunaikan solat 5 waktu di tempat yang khusus. Ini di sebabkan kemudahan surau malahan masjid yang tidak banyak di negara ini. Namun untuk menunaikan solat Jumaat di Seoul, antara pilihan utama masjid yang kebanyakan umat Islam akan pergi setiap hari Jumaat adalah di daerah Itaewon , Seoul. Selain itu, di kawasan ini juga terdapat banyak sekali kedai-kedai halal, jadi selepas solat Jumaat bolehlah terus menjamu selera di restoran-restoran halal di sekitar masjid Itaewon ini.


Islam itu mudah, kita dibenarkan untuk solat di mana-mana kawasan yang diyakini bersih. Dan untuk berwuduk, seeloknya kita membawa ke mana-mana sahaja 'spray bottle' yang boleh digunakan untuk berwuduk. Untuk musim sejuk, kita boleh mengambil wuduk dengan niat Khauf, menyapu di atas stocking sahaja. Makanya, tiada alasan yang mengatakan susah untuk beribadah di Korea lantas tidak menunaikan solat fardhu ini.
Spray Bottle Wuduk, amat sesuai dibawa ketika berada di Korea Selatan.

Khatib sedang membacakan khutbah Jumaat.
Setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Itaewon.
Berbanding di Ulsan dan Busan, di Seoul terutamanya di Itaewon, pilihan untuk makanan halal itu lebih banyak. Malahan bagi mereka yang menetap untuk tempoh yang lama di Seoul, mereka boleh membeli-belah barang-barang mentah seperti ayam dan daging halal di daerah ini. Harga juga jauh lebih berpatutan jika dibandingkan dengan harga di Bandar Ulsan dan Busan. Antara faktor yang utama adalah, Seoul lebih menjadi tarikan pelancongan dan ditambah dengan ramai orang Islam yang bekerja di Korea menetap di sekitar kawasan tersebut.


Waktu Zuhur disini awal, sekitar 12.20 pm sudah masuk waktu Zuhur. Namun disini, biarpun masuk waktu Solat Zuhur itu sekitar 12.20 pm, namun Azan hanya dilaungkan dalam jam 1.00 tengahari. Dan selepas itu disambung dengan Khutbah Jumaat.
  1. Khutbah disampaikan dalam 3 bahasa Arab, English dan Korea.
  2. Imam besar masjid Itaewon adalah orang tempatan.
  3. Jemaah ketika solat Jumaat terdiri dari pelbagai bangsa orang Malaysia, Indonesia, Pakistan, Arab, Korea dan juga orang Afrika.
Biarpun Islam itu agama minoriti di Korea ini, dan kebanyakan orang Korea berkefahaman tiada agama. Malahan sudah beberapa orang yang saya temui di Korea ini, apabila ditanya mereka beragama apa, menjawab tiada agama. Moga mereka itu ditemukan dengan agama Islam dan mengisi kekosongan yang ada dalam diri mereka itu. Seronok juga bila sekali sekala berada di luar negara ini dan menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah dari pelbagai negara.

Kedai-kedai yang ada disekitar Masjid Itaewon
Untuk pergi ke Masjid Itaewon ini tidaklah susah memandangkan kemudahan pengangkutan awam yang ada di Korea ini. Malahan sebagaimana penulisan saya dalam entri sebelumnya, dengan hanya menggunakan google map, kita boleh pergi ke mana sahaja di dalam Korea ini Panduan ringkas untuk percutian di Korea Selatan (South Korea).


Gambaran ringkas untuk menuju ke Masjid Itaewon yang sedikit ke dalam.
Namun disini, sedikit tip untuk mencari masjid ini adalah seperti berikut:
  • Jika kita menggunakan pengangkuatan awam samada bas atau keretapi. Kita akan berhenti di kawasan jalan utama.
  • Masjid ini berada di atas bukit dan sedikit ke dalam, maka jika andai sampai di kawasan jalan utama, maka seeloknya bertanya kepada masyarakat setempat.
  • Di sekitar jalan utama itu terdapat beberapa restoran halal Arab, Turkish dan Indian. Jadi bolehlah bertanya kepada mereka kedudukan atau arah ke Masjid Itaewon ini.
  • Tetapi jika anda menggunakan google map, anda hanya perlu mengikut arah yang ditunjuk oleh peta tersebut ke arah Masjid Itaewon itu. 
Saya pertama kali sampai ke masjid ini dengan menggunakan kenderaan yang disediakan oleh pihak syarikat, jadi sekurang-kurangnya tahulah nak menunju ke sana untuk datang kali kedua dan seterusnya.

Plan untuk menaiktaraf Masjid Itaewon, Seoul.
Maklumat tambahan, Masjid ini tidak jauh dari Muzium Tentera, dan saya agarkan sekitar 2 km dari kedudukan Masjid Itaewon ini. Jadi jika anda datang bercuti ke Korea, datang ke Masjid ni, maka bolehlah berkunjung ke Muzium ini. Muzium ini bertemakan sejarah perang Korea di antara Korea Utara dan Korea Selatan.

Muzium tersebut sangat luas, dan saya dapat andaikan,boleh memakan masa hampir sehari untuk berjalan-jalan di dalam Muzium ini. Antara tarikan di dalam Muzium dan luar Muzium seperti kenderaan tentera yang digunakan ketika perang Korea seperti kereta kebal, kapal terbang, kenderaan tentera pengangkut, helikopter dan pelbagai lagi. Pastinya yang membawa kanak-kanak akan teruja ketika berada di dalam muzium ini.

Sekian dahulu pengkonsian saya buat masa ini. Moga menjadi panduan ringkas kepada semua yang ingin melihat perkembangan Islam di Korea. Moga sirna Islam itu akan terus diterima oleh masyarakat Korea ini.

Wassalam.

No comments:

Google+ Followers