Assalamualaikum,

1.0 Transit di Jakarta, sebelum bertolak ke Bandung menggunakan keretapi.

   Hujung tahun 2014, kami sekeluarga telah merancang destinasi berikutnya ke Bandung, Indonesia. Namun perjalanan yang telah di pilih untuk ke Bandung dengan transit di Jakarta, memandangkan tiket terus ke Bandung sedikit mahal berbanding transit di ibu kota Jakarta. Selain itu kami memilih untuk menggunakan keretapi untuk ke Bandung dari Jakarta. Ini memberi sedikit kelainan serta dapat mencuba keretapi di Indonesia. Kami terbang ke Jakarta dengan menggunakan Malaysia Airlines (MAS ) dan pulang ke Malaysia pada 7 Disember 2014 dengan menggunakan AirAsia.

Bermalam di Marriot Jakarta, Indonesia dan keesokkan harinya ke Bandung dengan menggunakan keretapi.

   Saya akan berkongsi serba sedikit pengalaman menggunakan keretapi di Indonesia dan memberi komentari tentang beberapa destinasi menarik di Bandung dan Jakarta. Memandangkan di Jakarta kami hanya singgah untuk satu malam maka tidak banyak tempat yang kami dapat singgah di Jakarta berbanding ketika kami di Bandung. Disebabkan kami pergi dalam bulan Disember 2014, maka cuaca ketika itu agak kurang sesuai kerana kerap hujan berbanding bulan-bulan yang lain, menghadkan tempat-tempat yang dapat dilawati. Kelebihan cuaca di Bandung adalah cuacanya agak sejuk jika diberbanding dengan Jakarta, mungkin disebabkan kedudukannya yang lebih tinggi berbanding Jakarta.

2.0 Keretapi dari Jakarta ke Bandung, pengalaman yang mengujakan untuk dicuba.

   Untuk membeli tiket keretapi ke Bandung, saya telah membeli secara online menerusi website http://en.tiket.com/kereta-api , ini memudahkan perjalanan yang telah dirancang terlebih dahulu dari Malaysia. Sebab kami memilih untuk merancang sendiri perjalanan di Indonesia ini tanpa perlu menggunakan agen pelancongan, pada saya lebih baik malahan kita boleh mengubahsuai mengikut kesesuaian destinasi yang hendak di tuju. Bagi kesemua tiket-tiket yang telah dibeli pastikan anda membuat salinan semua dokumen perjalanan seperti tiket kapal terbang, keretapi dan juga hotel. Di stesen keretapi Gambir, Jakarta, terdapat mesin yang digunakan untuk mencetak tiket yang telah ditempah namun untuk kanak-kanak saya telah membeli sendiri di kaunter di sana memandangkan tidak dijual menerusi online.

Stesen Gambir, Jakarta, Indonesia.

Berikut adalah beberapa keping gambar ketika kami berada di stesen keretapi Jakarta. Kemudahannya pada saya amat baik malahan tempat duduk kerusi di dalam keretapi juga memuaskan serta disediakan plug-plug untuk mengecas peralatan elektronik seperti handphone mahupun komputer. 


Bahkan itu juga, kerusinya juga boleh dipusingkan untuk berhadapan di antara satu dengan yang lain, jadi kami sekeluarga boleh duduk berhadapan 4 orang/4 kerusi.

Kemudahan untuk mengecas barangan elektronik di dalam keretapi Jakarta ke Bandung.

Sempat bergambar di pintu masuk keretapi Indonesia sambil mendukung Falah, anak keduaku.

Masa perjalanan dari Jakarta ke Bandung, sekitar 2 jam lebih dan sepanjang perjalanan itu kita boleh melihat keindahan flora dan fauna di Indonesia. Selain itu, dengan melalui beberapa hentian, kita dapat perhatikan karenah-karenah masyarakat di Indonesia itu sendiri dan pastinya bukanlah sesuatu yang membosankan sepanjang perjalanan 2 jam itu. Tapi yang pastinya perlu memilih untuk mengambil perjalanan di siang hari agar dapat melihat keindahan tersebut.Keretapi dari Jakarta ke Bandung adalah RP 326,000 untuk 3 dewasa dan 2 kanak-kanak. Kami naik pada 2 Disember 2014, jam 10.15am dan sampai di Bandung 1.08 pm, jadi sekitar 3 jam perjalanan. 

Digalakan untuk menaiki keretapi berbanding bas kerana kadar kesesakan di Indonesia ini adalah sangat luar biasa malahan lebih teruk dari Malaysia. Selain itu, sekiranya di hujung minggu, kebanyakan daripada orang-orang di Jakarta akan ke Bandung untuk beristirehat, jadi kadar kereta yang bergerak dari Jakarta ke Bandung akan meningkat bermula Jumaat setiap minggu.

3.0 Tempat-tempat yang kami sempat pergi sepanjang 4 hari di Bandung

a) Gunung Berapi, Tangkuban Perahu. Selami kekuasaaan Allah dalam menciptakan alam.

    Terdapat ramai orang yang menjual barang-barang cenderahati yang mengejar anda. Di saran agar tidak membeli dari mereka, sebaliknya jika ingin membeli, belilah di kedai-kedai cenderahati disitu, kalau tidak penjual itu akan terus mengejar anda ke mana sahaja.

Gambar kami sekeluarga saat melangkah masuk ke destinasi wajib di Bandung ini.

Lava Gunung Berapi Tangkuban Perahu yang masih aktif. Disini, cuacanya agak sedikit dingin.

b) Kawah Putih Ciwidey. Pemandangan yang mengujakan dan bukti kekuasaaan Allah s.w.t.

    Masuk akan dikenakan bayaran, dan anda boleh memilih untuk membawa kereta sampai atas (bayaran tambahan dikenakan) atau menggunakan kereta kecil yang membawa pengunjung dari parking tempat jualan tiket dan ke pintu masuk kawah tersebut. Selain itu, di wajibkan untuk memakai penutup hidung & mulut memandangkan bau lava gunung itu masih anda, gunung-gunung berapi ini masih lagi aktif. 

   Pemandangan amat mengujakan terutama kesan daripada lava gunung berapi itu, air berwarna kehijauan & keputihan. Malahan pemandu pelancong kami memberitahu, kebanyakan pengantin baru selalu berkunjung ke kawasan ini untuk mengabadikan gambar-gambar perkahwinan mereka bersama. Ketika kami disini, ada beberapa pasangan pengantin baru sedang shooting gambar mereka. Dengan lanskap dan pemandangan yang menarik, pastinya gambar yang diabadikan itu menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.



c) Taman penternakan arnab-arnab, boleh bermain dengan arnab-arnab di situ.

   Bagi yang membawa anak-anak bersama bercuti ke Bandung, saya sarankan ini merupakan destinasi wajib untuk dikunjungi atau dalam checklist anda. Jangan hanya sakan bershopping ye, sebaliknya anak-anak anda kebosanan sebab mereka tak menikmati sangat percutian tersebut.

   Malahan jumlah arnab yang banyak disini memberikan keseronokan untuk bermain bersama-sama, karot dijual di pintu masuk dengan harga yang murah dan boleh diberikan kepada arnab-arnab tersebut. Surau juga bersebelahan dengan taman arnab ini, maka sambil anak anda bermain dengan arnab, anda bolehlah menunaikan solat. Ketika kami sekeluarga berkunjung ke sini, cuaca agak kurang mengizinkan , sekejap sahaja dapat berada di taman arnab ini kerana hujan lebat.




Sampai disini dahulu penulisan saya untuk Part 1, insyallah saya akan menyambung part 2, dengan destinasi-destinasi yang saya telah kunjungi di Bandung untuk panduan rakan-rakan sekalian. Moga sebahagian dari coretan ini menjadi inspirasi buat semua. 

Percutian kita ini biarlah yang bermanfaat, selain merehatkan diri dari kesibukan kerja, kita niatkan juga untuk mendekati Allah s.w.t, dengan melihat ciptaan-Nya yang luar biasa dan menginsafi akan kelemahan dan kekurangan kita sebagai makluk ciptaan-Nya. Marilah kita sama-sama renungi ayat Allah s.w.t ini akan penciptaan langit dan bumi, moga meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

Iskandar Musa.

Travelog Dunia Mencari Cinta Illahi.





Post a Comment

Previous Post Next Post