Saturday, March 5, 2016

Hanaa Humaira...namamu anak-ku. Moga menjadi anak yang solehah dan mujahiddah ayah dan ibu.

Assalamualaikum,

   Telah lama rasanya saya tidak menulis berkaitan dengan coretan kehidupan ini. Di penulisan ini, saya mahu kongsikan kegembiraan saya pada 25 Januari 2016 yang lalu, lahirnya seorang puteri yang dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga. Waqi dan Falah, bakal bergelar abang yang akan menjadi pemimpin buat adik perempuan mereka ini. Penulisan saya sebelum ini menantikan kelahiran Hanaa Humaira. Sesungguhnya perhintungan yang terbaik itu hanya dari Allah s.w.t
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (QS Al Baqarah: 216)
   Kalau mengikut perkiraan, puteri saya ini bakal lahir pada 28 Januari 2016, namun sebagaimana perkiraan untuk abangnya Waqiyuddin dan Falah, kedua-duanya lahir awal dari hari yang di perkirakan. Bagi Falah, dia lahir 5 hari awal dari tarikh sebenar yang diramalkan. Manakala Waqiyuddin, lahir awal 2 hari dari tarikh sebenar. Maka melalui pengalaman tersebut, kami dapat jangkakan bahawa anak ke-3 kami ini juga akan lahir awal dari tarikh yang diramalkan. Dan benarlah perkiraan kami dan Hanaa Humaira lahir 3 hari awal dari perkiraan yang telah diramalkan.

Hanaa Humaira Day 1 di bilik persalinan.

a) Persiapan menanti kelahiran Hanaa Humaira, saat yang penuh mendebarkan.

   Sesungguhnya Allah itu maha besar, dan perhitungan dari-Nya itulah yang terbaik buat kita semua. Persiapan untuk menyambut anak yang ke-3 ini telah dibuat, malahan sedikit pengalaman dari anak yang pertama dan ke-2 itu sebenarnya banyak mengajar kami malahan memudahkan untuk mempersiapkan barangan yang diperlukan.

   Kelahiran ketiga-tiga anak kami ini disemua lokasi yang berbeza dan pastinya setiap dari mereka akan mempunyai no yang berbeza di myKid atau kad pengenalan. Bagi anak yang pertama dengan Kuala Lumpur (03), untuk Falah dengan Perak (08) dan Hanaa Humaira dengan Kedah (02). Dan setiap dari mereka mempunyai coretan berbeza dan asal usul bagaimana nama itu diberikan. Jika dikenang kembali, setiap dari kita ini dinamai dengan sebab-sebab tertentu.

   Malahan untuk penulis sendiri, nama diberikan sempena nama seorang Imam terkenal di Sabah pada ketika itu. Dan pastinya anda juga mempunyai sejarah bagaimana nama anda diberikan, ingatkah sebabnya musababnya ?


   Pusat Rawatan Mahsuri adalah tempat yang menjadi pilihan untuk isteri saya melahirkan anak kami yang ketiga. Waqiyuddin dahulu lahir di Hospital Pusrawi dan Falah pula di Hospital KPJ Ipoh, memandangkan anak kami yang ketiga ini kami telah buat keputusa untuk bawa ke sebelah keluarga mentua maka kami memilih pusat rawatan yang berdekatan rumah mentua di Kangar. Di Perlis sendiri, pusat rawatan swasta memang tiada maka yang paling dekat adalah di Jitra, Kedah.

   Pilihan untuk bersalin di Hospital swasta, pertamanya untuk mudah mendapat doktor wanita dan dapat menjaga aurat dengan lebih baik. Bukanlah saya mahu mengecilkan hospital kerajaan, tapi jika mampu untuk membuat yang terbaik, maka kita memilih untuk mencari yang terbaik. Aspek-aspek ini perlu diberi pilihan kerana kekadang di Hospital Kerajaan disebabkan pesakit yang terlalu ramai, perkara-perkara ini dipandang remeh, dan kita sebagai orang Islam, amat menitikberat soal-soal ini.

b) Komentar saya tentang Pusat Rawatan Mahsuri , boleh dijadikan sedikit panduan ringkas.

    Ulasan saya secara keseluruhan untuk Pusat Rawatan Mahsuri ini, secara keseluruhan memuaskan dan tiada sebarang masalah ketika isteri saya bersalin pada 25 Januari 2016 yang lalu. Malahan layanan yang diberikan juga amat memuaskan samada daripada jururawat dan doktor. Jadi saya amat syorkan buat mereka yang merancang untuk mencari hospital swasta di sekitar Perlis dan Kedah. Kemudahan yang ada di dalam bilik dan di pusat rawatan ini juga amat baik dan kemas. Apabila anda masuk ke ruang pendaftaran juga amat memuaskan dan kaunter-kaunter itu melayan anda dengan baik.

   Memandangkan ini sebuah pusat rawatan yang kecil, jadi tidaklah terlalu sesak dengan ramai pesakit dan cepat dari segi pendaftaran dan sebagainya. Kos? Kalau dalam iklan yang ada di dalam pusat rawatan ini untuk bersalin normal bermula dengan RM 1500, dan kos tersebut bergantung kepada keadaan ketika bersalin dan selepas bersalin samada perlu untuk tinggal lebih lama dihospital untuk rawatan-rawatan tertentu seperti kuning atau sebagainya. Untuk mendapatkan lokasi pusat rawatan ini bolehlah rujuk di link berikut Pusat Rawatan Mahsuri. Moga ia menjadi panduan buat teman-teman di luar sana yang masih mencari Pusat Rawatan untuk isteri bersalin di Kedah atau Perlis.
Pada usia hampir seminggu, sebelum majlis aqiqah.
Tips mudah saya untuk ibu-ibu dan bapa yang bakal menyambut anak yang pertama;
  • Pastikan anda telah merancang di mana tempat bersalin dan tempat isteri anda akan berpantang.
  • Menyiapkan semua keperluan selepas bersalin dan ketika berpandang seperti barang-barang bayi seperti pampers, baju, ubat-ubatan dan barang-barang untuk si ibu, baju lepas bersalin, ubat-ubatan, pampers ibu dan sebagainya.
  • Untuk seminggu yang terakhir merupakan tempoh masa yang kritikal, bapa sewajibnya siap siaga.
  • Untuk yang ditanggung oleh insurance syarikat bekerja, pastikan segala perancangan telah dimaklumkan seperti Guarantee Letter dan sebagainya.
  • Untuk suami, elakkan untuk outstation dalam tempoh 1 seminggu daripada due date.
  • Nama untuk anak yang bakal lahir, kalau saya ketiga-tiga anak selepas bersalin. Tapi saya sarankan agar sebelum bersalin. Kerana apa? Kita tak menduga apa yang akan berlaku, andai sebarang yang tidak diingini berlaku seperti bayi lahir ketika bersalin, maka kita telah ada nama untuk memanggilnya.
Moga ilmu-ilmu di atas dapat dikongsi bersama dan sesungguhnya kita sesama manusia itu bersaudara kerana Allah s.w.t. Disarankan juga jika ada sebarang komentar bolehlah dikirimkan di bahagian komen, moga kita saling memuhasabah.

Iskandar Musa.



No comments:

Google+ Followers