Dalam perkembangan yang berkaitan di Machang, beberapa kumpulan pelajar itu diketuai oleh para pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan persatuan-persatuan dalaman UiTM yang sebahagian besar memakai pakaian serba hitam melakukan perhimpunan memberi respons kepada isu berkenaan. Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Kelantan, Shaik Aznan Md. Eusoff menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh mereka kepada Pengarah kampus tersebut, Prof. Datuk Dr. Hussin @ Mohamed Abd. Rahman seraya berkomentar, "Persoalannya, kenapa UiTM diganggu sedangkan di negara ini terdapat sebanyak 22 buah universiti kerajaan, 32 universiti swasta dan beratus institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terbuka kepada semua kaum".
Inilah manifestasi dari penerapan dasar diskriminasi perkauman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kaum Melayu mempunyai hak-hak istimewa berbanding yang lain. Kesannya dapat dirasakan hingga sekarang. Kaum bukan Melayu mula bangkit menuntut hak hidup mereka sebagai warganegara. Mereka sentiasa mencari-cari jalan agar hak mereka dikembalikan termasuk menggunakan pentas politik. Kaum Melayu sekarang benar-benar tersepit dengan situasi yang mereka pilih sendiri, kerana berhukum dengan hukum sekular. Mereka sentiasa dihimpit dengan ketidakadilan yang mereka sendiri pilih untuk bertahkim, iaitu bertahkim dengan undang-undang kufur jahiliyyah, bertahkim dengan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh sikafir Lord Reid.
Memanglah Melayu sangat sinonim dengan Islam. Malangnya, kaum Melayu meninggalkan sebahagian besar ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Sistem kehidupan kaum Melayu diselubungi dengan sekularisme, nasionalisme dan patriotisme yang datangnya dari Barat. Sudahnya, kaum Melayu lebih sayangkan Melayu dan memperjuangkan bangsa Melayu dari memperjuangkan Islam itu sendiri. Walaupun Islam tidak dilaksanakan, hukum Islam dipijak-pijak oleh pemerintah yang ada, namun kaum Melayu tidak bangkit untuk membela Islam dan membuang hukum kufur sekular yang keji ini. Namun, jika persoalan ‘bangsa Melayu’ sedikit sahaja di ungkit, maka kaum Melayu bangkit dan mempertahankannya habis-habisan.
Di dalam sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah), polisi pendidikan yang diamalkan adalah bersifat adil untuk semua warganegara. Islam tidak sama sekali meletakkan kuota pendidikan berdasarkan kaum, warna kulit, ras mahupun agama. Bahkan setiap warganegara Daulah Islam (Khilafah) menikmati pendidikan secara menyeluruh dan percuma kerana pendidikan itu merupakan keperluan sekunder manusia. Bagi memenuhi keperluan tersebut, Khilafah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan prasarana dan fasiliti yang berkaitan pendidikan secara percuma kepada rakyatnya tanpa mengkelas-kelaskannya berdasarkan ‘bangsa’ atau sentimen perkauman atau bahkan agama sekalipun. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW dari Sulaiman bin Buraidah r.a,
"..dan beritahukanlah kepada mereka (orang-orang kafir) bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu (berhijrah menjadi warga Daulah Islam -pent), maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana yang dimiliki kaum muhajirin (warganegara Daulah Islam), dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirin" [HR Muslim]
Apa yang penting di bawah polisi pendidikan Islam adalah, segala silabusnya mestilah sesuai dengan syarak. Tidak sebagaimana sekarang, silabus pendidikan yang ada mestilah sesuai sebagaimana yang dikehendaki oleh Barat dan pemerintah yang sekular. Dunia pendidikan kita masih berkiblatkan Barat di mana polisi pendidikannya memisahkan agama dari kehidupan (faslu deen anil hayah). ‘Islam’ hanya menjadi salah satu subjek yang dipelajari dan boleh dipilih untuk dibuang, jauh sekali dipelajari (Islam) untuk diterapkan.
Kedudukan orang-orang kafir yang berada di bawah naungan Daulah Khilafah disebut ahlu-dzimmah atau kafir dzimmi. Hak hidup bagi setiap ahlu-dzimmah adalah sama sepertimana hak-hak kaum Muslimin sesuai dengan tuntutan syarak. Dalam dunia pendidikan, hak kafir dzimmi tidak dinafikan atau dipencilkan seperti yang ada hari ini. Kewujudan diskriminasi kuota seperti yang termaktub dalam dasar pendidikan nasional sekarang amat menggusarkan kaum bukan Melayu (orang-orang kafir) di Malaysia. Padahal mereka juga adalah manusia yang memiliki hak seperti dinyatakan dalam hadis di atas. Tambahan lagi, oleh sebab sentimen perkauman yang tebal yang ada dalam polisi pendidikan negara, maka para pelajar bukan sahaja terbina dengan sifat perkauman Melayu yang tebal, malah secara tak langsung mereka membenci bangsa lain yang berbeza dengan bangsa mereka. Justeru, persoalan tentang hak-hak kafir dzimmi yang diterangkan dengan jelas oleh Rasulullah, langsung hilang dari benak orang Melayu.