DALAM sistem taqwim Islam, melihat anak bulan atau melakukan rukyah adalah satu ciri utama bagi menentukan awal bulan.

Rukyah menurut definisi hukum fiqah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas matahari terbenam, manakala anak bulan didefinisikan sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam.Secara tradisinya, petunjuk bagi penyusunan taqwim Islam keseluruhannya berdasarkan kepada dalil syarie berkaitan dengan permulaan dan akhir puasa Ramadan.


Puasa bermula selepas anak bulan kelihatan pada 29 Syaaban. Begitu juga dengan hari raya, disambut selepas anak bulan kelihatan pada 29 Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) sesudah melihat anak bulan.”

Hadis di atas tidak bermaksud memerlukan semua orang melihat anak bulan terlebih dulu sebelum memulakan puasa, malah hanya memadai ada segolongan yang melakukannya atau menyaksikannya.

Bagi mazhab Hanafi, memadai yang melihat itu seorang saja dalam keadaan cuaca mendung bagi penentuan Ramadan, tetapi bagi penentuan Syawal yang melihat anak bulan itu mesti dengan dua saksi. Sementara bagi mazhab Syafie wajib berpuasa walaupun hanya seorang melihatnya.

Awal bulan hijriah, khususnya Ramadan dan Syawal boleh juga ditetapkan berdasarkan laporan atau berita mengenai kelihatan anak bulan oleh seseorang yang boleh dipercayai.

Dalil ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan at-Tirmidzi daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, katanya (maksud):

“Seorang Arab (Badwi) datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata; wahai Rasulullah, bahawasanya saya telah melihat hilal Ramadan. Lalu bertanya Rasulullah s.a.w; apakah kamu mengakui tiada Tuhan melainkan Allah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Bertanya lagi Rasulullah s.a.w; apakah engkau mengakui Muhammad itu Rasulullah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal, beritahulah kepada manusia supaya mereka berpuasa esok hari.”

Bagi maksud ini, orang ramai yang nampak anak bulan sama ada Ramadan atau Syawal, boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, seperti mufti, hakim atau kadi.

Pihak berkuasa pula boleh mengadakan prosedur soal selidik sebelum menerima kesaksian berkenaan dan membuat keputusan mengenainya.

Ulama fiqah sepakat, wajib bagi orang yang mendakwa nampak anak bulan itu berpuasa, tetapi untuk anak bulan Syawal terdapat perselisihan pendapat.

Apabila anak bulan tidak kelihatan pada akhir sesuatu bulan itu, sama ada pada 29 Syaaban, 29 Ramadan atau Zulqaedah, bulan terbabit dijadikan 30 hari.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksud): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah (hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari).

Penetapan awal puasa dan hari raya boleh juga dilakukan berpandukan hasil kiraan falak.

Ini berdasarkan ayat 5 surah Yunus, maksudnya: “Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan menetapkan manzilah baginya, supaya kamu mengenai bilangan tahun dan pengiraan masa.”

Bagi mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, rukyah diterima sebagai asas penetapan awal Ramadan dan Syawal.

Khilaf (perbezaan) antara rukyah dan hisab disebabkan tafsiran terhadap dua hadis, iaitu hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar serta satu lagi hadis diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah.

Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 memberikan impak positif dalam penggunaan kaedah saintifik sebagai asas penentuan awal bulan termasuk di Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post