Thursday, April 30, 2009

Pornografi di kalangan muda-mudi kita membimbangkan

SHEIKH Muhammad Ahmad Ar Rashid dalam karyanya yang terkenal, Al-Muntalaq menceritakan perihal anak-anak muda, generasi muslimin pada masa ini yang seolah-olah menjadi anak-anak singa yang diubah menjadi kijang-kijang yang pengecut.
Beliau merumuskan tentang satu generasi yang melupakan sejarah keagungan lampau umatnya.
Suatu umat jihad yang mencintai kebenaran telah dimomokkan dengan idea-idea dan pemikiran yang palsu sehingga mereka melupai sejarah kemenangan umatnya.
Mereka kini dididik supaya menjadi materialistik hingga akhirnya kebanyakan mereka dangkal fikirannya. Jika ada yang mempunyai kesedaran ingin membangunkan masyarakat, banyaknya yang berlandaskan idea-idea yang bukan berdasarkan neraca Islam.
Anak-anak muda pada hari ini sebenarnya hamba. Mereka pula gemar pada perhambaan. Alat-alat yang digunakan untuk menjadikan hamba gembira dengan perhambaan itu banyak sekali pada hari ini. Namun, salah satu alat yang begitu besar impaknya ialah bahan lucah, pornografi.
Pornografi ia suatu wabak, penyakit dan suatu gejala yang unik.
Budaya kelucahan melampau ini telah melanda muda-mudi umat dengan suatu badai yang sangat dahsyat sekali. Dahulu, mungkin tidak pernah terbayang di benak fikiran sesiapa pun untuk membaca kisah seorang remaja dirogol belasan lelaki.
Tapi, berita sejenis dengan itu selalu timbul pada masa ini. Begitu juga dengan merogol kanak-kanak, seks luar tabii, dan macam-macam lagi gejala kelucahan melampau dalam masyarakat.
Dahulu, bila disebut pornografi, kita hanya akan terbayang video-video lucah yang dibawa dari Siam, Barat dan lain-lain. Siapa sangka pula kini anak kita sendiri yang membikin pornografi?!
Anak gadis kita begitu bangga sekarang merakam aksi bersama pasangan; gadis bertudung! Anak muda sudah berani mengeksperimen dengan telefon bimbit mereka. Hinggakan sekolah juga tidak terselamat daripada budaya kelucahan melampau ini.
Segenap lapisan masyarakat kini terlibat dan tertarik ke lembah pornografi ini. Daripada pelajar sekolah sehinggalah ahli politik. Media terus menerapkan budaya kelucahan sedikit demi sedikit ke dalam pemikiran masyarakat. Secara sedar atau tidak, media kita menjadi agen pornografi di tanah air.
Pergi sahaja ke vendor-vendor majalah dan akhbar jalanan dan nilai sendiri longgokan sampah sarap yang dijual secara terbuka kepada masyarakat. Maka, amat tidak peliklah jika kita lihat anak-anak muda hari ini semakin lalai dari landasan Islam.
Saudara, masih ingatkah kita suatu waktu dahulu ketika generasi 80-an masih lagi di peringkat sekolah? Kami ini ditanam dengan mentaliti bahawa Barat itu buruk. Globalisasi itu wabak dan budaya kuning penyakitnya.
Saudara, saya tinggal di negara blok Barat. Di sini, walaupun seks bebas itu menjadi norma, jarang sekali kedengaran pelajar-pelajar sekolah yang merakam kegiatan mereka. Jarang terdengar gadis dirogol belasan pemuda. Jarang sekali tabloid-tabloid yang mengandungi kelucahan terlampau dijual secara bebas seperti di Malaysia.
Maka saya persoalkan, sampai bilakah akan kita salahkan Barat tentang kepincangan akhlak yang melanda muda-mudi kita?
Kesimpulannya, pornografi telah berjaya melahirkan suatu generasi yang dilanda kelucahan melampau, kedangkalan minda, ketandusan akhlak dan kebendaan.
Bukanlah jarang dibaca tentang para pemudi yang membuat laporan polis mengenai bekas pasangan yang menyebarkan aksi terlarang mereka. Maka, kita fikirkan, apa telah jadi?
Ketika anak-anak gadis bertudung menjaja mahkota mereka dalam video-video Internet, apa perasaan kita?
Apa yang telah terjadi wahai saudara? Pornografi meracuni akal dan jiwa masyarakat. Apa yang telah terjadi? Lalu kita pula bersorak-sorai berbangga dengan masjid-masjid yang indah. Dan Islam sebagai agama rasmi dan pendidikan Islam di sekolah. Tapi soalnya, di mana dia roh itu?
Pokoknya, kita telah gagal dan akan terus gagal andai kita tidak mencari segera jalan pembaikan.
PENGEMBARA
Auckland, New Zealand
sumber : utusan

Monday, April 27, 2009

Bidaah Besar Masa Kini

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin meminta peminat memberi masa kepadanya untuk memakai tudung sepenuhnya. Siti Nurhaliza, 29, mengakui sejak pulang menunaikan ibadat haji pada 27 Disember lalu, peminat amat berharap dia memakai tudung, bukan sekadar selendang untuk menutup rambut. “Saya harap beri sedikit masa kerana saya masih aktif dalam bidang ini (industri hiburan).

Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) itu berkata, mungkin ada peminat membuat anggapan negatif mengenai tindakannya yang hanya memakai selendang. “Saya akui selesa memakai selendang kecuali untuk disesuaikan dengan persembahan tertentu yang perlu memakai tudung. “Ini kerana saya tidak mahu perubahan drastik. Insya-Allah, saya akan lakukan perubahan ini secara perlahan-lahan dan harap peminat bersabar,” katanya.

Ahad lalu, seorang peminat menegur Siti Nurhaliza menerusi ruangan i-Metro dalam Metro Ahad mengatakan penyanyi itu tidak konsisten memakai tudung kerana dalam video klip, rambut ditutup, tetapi leher terdedah. Peminat terbabit turut menegur rambut penyanyi wanita nombor satu negara itu terdedah pada waktu santai. Perkara itu juga pernah dibangkit beberapa peminat lain yang memberi pendapat jika fesyen Siti Nurhaliza sebegitu, lebih baik membuka terus tudung atau selendang kerana imej dulu lebih cantik.

Siti Nurhaliza sebelum ini pernah menyatakan dia bersedia menerima apa saja maklum balas daripada peminat mengenai penampilannya sekarang sama ada positif atau negatif. Dia berkata, tidak mahu melakukan perubahan drastik, sebaliknya dilakukan secara perlahan-lahan.

Sumber : Metro, 21/04/09

Perlaksanaan Hukum Allah SWT Secara Beransur-Ansur Merupakan Suatu Bidaah Besar Masakini.

Inilah kesan daripada kekalahan pemikiran umat Islam kepada serangan fikrah yang dilakukan oleh Barat ke atas Islam. Kekalahan ini mengakibatkan umat Islam secara sedar ataupun tidak telah menerima idea sekular untuk menjadi landasan berfikir bagi menjalani kehidupan dunia mereka di saat ini. Lihatlah persoalan pemakaian tudung oleh artis popular di atas yang ditanggapi oleh ramai pihak dengan pandangan yang berbeda-beda termasuklah oleh si empunya diri. Malahan si empunyai diri juga mengeluarkan kenyataan yang tersasar dari Islam sebenarnya. Apakah memakai tudung secara sempurna itu dianggap sesuatu yang drastik? SubhanAllah. Sebagai seorang Muslim kita perlu memahami bahawa Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW untuk mengatur kehidupan manusia denganNya (aqidah dan ibadah), dengan dirinya sendiri (makanan, minuman,a khlak dan pakaian) mahupun dengan manusia yang lain (‘uqubat dan muamalat) telah mewajibkan umatnya untuk terikat sepenuhnya dengan hukum syara’ tanpa membeza-bezakan dan menangguh-nangguh perintah Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." [TMQ Al Baqarah (2) :208].

Ketahuilah bahawa sesuatu yang wajib itu akan tetap wajib hukumnya tanpa ada konsep tadarruj di dalam perlaksanaannya. Begitu juga bagi sesuatu keharaman itu akan tetap haram hukumnya tanpa ada konsep beransur-ansur dalam meninggalkannya. Sebagai contoh, bolehkah kita melaksanakan solat zhuhur 1 rakaat pada permulaan perlaksanaannya kemudian ditambah menjadi 2 rakaat untuk tahun yang seterusnya , 3 rakaat untuk tahun yang selepas itu sehinggalah akhirnya sempurna 4 rakaat. Sudah pasti kita mengetahui jawapannya.

Ya, kita mengakui bahawa al-Quran turun secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun kepada Rasulullah SAW tetapi perlu diingat bahawa kini al-Quran telah sempurna turunnya dan hukum Islam itu tidak boleh dilaksanakan secara beransur-ansur sebagaimana beransur-ansurnya al-Quran itu diturunkan. Contohilah generasi sahabat yang dibina oleh Rasulullah SAW yang bersedia menjadi umat yang bersegera tunduk kepada perintah Allah SWT:

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. "[TMQ An Nuur (24) :51].

Para sahabat Rasulullah SAW di dalam kehidupan mereka senantiasa bersegera melaksanakan perintah Allah SWT dan rasulNya tanpa ada alasan untuk menangguhkan perintah dan larangan tersebut. Terlampau banyak kisah para sahabat yang kehidupan mereka senantiasa bersegera melaksanakan perintah Allah SWT dan rasulNya. Mereka memahami firman Allah SWT:

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa” [TMQ Ali 'Imran (3) :133].

Suatu renungan untuk artis di atas, hayatilah kepatuhan dan ketundukan muslimah awal Islam dahulu yang telah bersegera untuk melaksanakan perintah Allah SWT yang mewajibkan khimar dan jilbab kepada mereka: “Imam Bukhari meriwayatkan dari ‘Aisyah ra berkata: ‘Semoga Allah merahmati kaum wanita yang berhijrah pertama kali ketika Allah menurunkan firmanNya, “Dan hendaknya mereka menutup kain tudungnya sampai ke dadanya…[TMQ An Nuur (24) :31]” maka kaum wanita itu mengoyakkan kain sarung mereka (untuk dijadikan tudung) dan menutup kepala mereka dengannya.'

Bilakah lagi kita bidaah ini akan ditinggalkan?

Tukar Posisi Pemain Adalah Pembaharuan?

altKUALA LUMPUR, 24 April – Datuk Seri Najib Tun Razak terus komited untuk melakukan pembaharuan dalam UMNO apabila melakukan perubahan pucuk pimpinan di lapan negeri. Malah lima daripada lapan negeri terbabit menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.

Presiden UMNO itu sendiri mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin UMNO Wilayah Persekutuan. Semua tiga Naib Presiden UMNO buat pertama kali turut diberi tanggungjawab menerajui UMNO negeri dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memimpin Terengganu bagi menggantikan Datuk Ahmad Said. Ahmad dilantik sebagai timbalan. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengambilalih teraju Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sementara Datuk Seri Shafie Apdal diberi tanggungjawab untuk mengemudi UMNO Kedah. Tiga lagi negeri iaitu Kelantan diterajui oleh Datuk Mustapa Mohamad, Perak oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Perlis oleh Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Pengumuman yang dibuat oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat pertama kali selepas pemilihan parti Mac lalu itu sekali gus menyaksikan beberapa nama digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (Selangor) dan Tan Sri Annuar Musa (Kelantan).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dikatakan akan digugurkan pula kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bukan bermakna parti tersebut ketandusan pemimpin. “Naib Presiden layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan. Kalau dia jadi Naib Presiden tak kan dia tak boleh jadi pengerusi perhubungan? “Itu ikut atas pertimbangan saya, ada keperluan dilantik Naib Presiden, kita lantiklah,” jelasnya.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut mengumumkan pelantikan 12 ahli MT termasuk masing-masing satu wakil
daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Antara yang kembali dilantik menganggotai MT ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz. Turut di lantik ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjadi satu-satunya Menteri Besar yang dilantik ke jawatan MT. “Menteri Besar yang tidak dilantik akan dijemput hadir sebagai antara yang turut hadir dalam mesyuarat MT,” jelas Najib.
Najib turut mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung dan melantik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari Agung yang baru menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi. Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan pula dilantik Ketua Penerangan UMNO bagi menggantikan Muhammad. Mengenai pelantikan semula Rafidah dan Shahidan, Najib berkata: “Mereka boleh beri sumbangan pada parti, jadi kita ada kesinambungan dan kita ada pembaharuan.”

Sumber : Utusan Malaysia, 25/04/09

Hanya tukar posisi pemain. Itukah pembaharuan namanya?

Apakah ini dikatakan suatu pembaharuan? Hakikatnya UMNO masih sama. Akar perjalanan UMNO masih sama.Apakah rakyat boleh mengharapkan sesuatu yang baru dengan hanya pertukaran posisi pemain sahaja namun corak permainan dan sistemnya masih sama? Masyarakat yang rasional akan nampak jawapannya! Seharusnya, asas sesebuah parti politik yang dianggotai oleh orang Islam, seperti UMNO, mestilah Islam dan aktivitinya juga mestilah merupakan aktiviti yang berlandaskan kepada Islam sesuai dengan firman Allah SWT:

”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ Ali 'Imran (3) : 104].

Malangnya sehingga ke hari ini UMNO yang ahlinya terdiri dari majoritinya orang Islam masih lagi menjadi parti
yang mendokong dan mempertahankan undang-undang sekular kufur Lord Reid sejak 52 tahun yang lalu di mana kita sebagai seorang Islam telah dapat menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri bagaimana undang-undang ciptaan manusia itu masih kukuh dipertahankan oleh UMNO dan sekutu-sekutunya. Kita boleh menyaksikan sendiri hasil penerapan sistem kufur ini sehingga saat ini - 1001 satu macam masalah berlaku di dalam masyarakat. Keadaan semakin kronik hari demi hari dan akan terus berkekalan selama mana sistem busuk ini masih diterapkan. Apakah para pemimpin UMNO dan para ulama yang berada di dalam UMNO itu tidak memahami perintah Allah SWT :

”Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ Al Baqarah (2) :208].

”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) :49-50].

Terlalu banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang secara qat’i memerintahkan umat Islam khususnya para pemerintah umat Islam untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan secara individu, masyarakat dan negara. Untuk itu UMNO akan hanya layak dikatakan melakukan pembaharuan jika asas perjuangannya ditukar kepada Islam dan asas lamanya, ashobiyyah, dicampakkan jauh-jauh.

Selepas melakukan semua ini, barulah boleh diharapkan agar pembaharuan yang diinginkan oleh UMNO itu akan benar-benar berlaku dan mereka akan termasuk ke dalam golongan yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat.

Wednesday, April 1, 2009

Kritikan Terhadap Satu Penipuan

Assalamualaikum..

Tertarik untuk menulis berkenaan sistem ekonomi hari ini. Setelah hampir setahun bekerja disebuah company yang dikatakan multinasional dan ingin menjadi global champion, barulah menyedari sebuah permainan yang berlaku di dalam syarikat tersebut. Di luar nampaknya gah, berani dan masyhur dengan kebaikan dan jasanya kepada rakyat. Namun hakikat didalam syarikat tersebut, penuh dengan pelbagai muslihat, permainan, hasad dengki dan birokrasi. Bahkan perkara yang boleh dipermudahkan juga turut disulitkan. Dan paling menyeronokkan dan melucukan adalah alasan untuk menafikan semua pandangan-pandangan lain adalah dengan membangkitkan isu "Safety", pasti terduduk dan terdiam pandangan-pandangan lain. Reason ini merupakan satu perkara biasa yang dikatan sebuah syarikat multinasional yang bertunjangkan sistem ekonomi kapitalis. Soal keselamatan hanyalah satu platform atau landasan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih berlipat ganda, bukan soal untuk menjaga nyawa-nyawa pekeja atau memberi keselesaan kepada pekerja.

Sebaliknya apabila pekerja bekerja dalam keadaan yang membahayakan keselamatannya timbul pula bahawa pekerjaan seperti itu perlukan pengorbanan yang tinggi. Pelbagai alasan terus menerus dilontarkan bagi menafikan usaha murni. Moga fikir-fikirkanlah....

Google+ Followers