BANDAR BARU BANGI – Lebih 150 orang peserta telah memenuhi Bilik Seminar Khilafah Centre di sini Ahad lalu sebagai tanda perihatin mengenai isu revolusi Arab yang semakin memuncak kini. Hadhirin nampaknya teruja ingin mengetahui penyelesaian hakiki dari perspektif Islam yang dibincangkan pada Munaqashah (Diskusi) bertajuk “Revolusi Arab - Kebangkitan Benar atau Salah” anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dengan kerjasama Khilafah Centre (KC).

Tanpa mengira peringkat umur dan latarbelakang, kehadiran peserta agak ramai kali ini sehingga memenuhi semua tempat duduk yg disediakan hingga ada yang terpaksa duduk ditangga. Namun itu tidak menjadi halangan bagi mereka untuk mendengar penjelasan dan analisis yang disampaikan oleh dua orang ahli panel iaitu Ust Abu Hafiz Ismail selaku Ketua HTM Kawasan Bangi dan Ust Abdul Hakim yang juga merupakan Presiden HTM.

Abu Hafiz membawa peserta mengimbau lintasan sejarah negara-negara umat Islam yang telah dan sedang bergolak seperti Iran, Arab Saudi, Iraq, Indonesia hingga ke Tunisia, Mesir dan terakhir dan paling menyayat hati adalah Libya. "Semua negara ini pernah berada di bawah naungan Daulah Khilafah yang kemudiannya diganti oleh sistem beraja dan demokrasi hasil penjajahan kuffar dan pengkhianatan pemimpin umat Islam itu sendiri", ujar Abu Hafiz.

Namun apa yang berlaku sebenarnya terutama di Tunisia, Mesir dan Libya hanya reformasi dalam bentuk perubahan pemimpin, bukannya sistem. Beliau juga menjelaskan kepada peserta berhubung campurtangan Barat yang sentiasa mencari pengaruh di seluruh pelusuk dunia terutama Timur Tengah yang menjadi laluan sutera (the silk road) serta ketakutan Barat akan kembalinya Khilafah Islamiyyah. Oleh kerana itulah, Barat tidak pernah leka dengan situasi yang berlaku di negara-negara tersebut dan cuba meletakkan ajennya yang lain sebagai pemimpin.

Majlis dihangatkan lagi dengan wawancara dengan salah seorang pelajar Malaysia di Mesir iaitu Saudara Azizi yang menceritakan pengalaman beliau sendiri belajar di sana dan realiti kehidupan sebenar di bawah pemerintahan Hosni Mubarak sebelum ini. Para peserta Munaqashah juga diselitkan dengan tayangan video yang merupakan temubual Press TV bersama dengan Pengarah Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, Osman Bakhach mengenai perkembangan terkini di Libya.

Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman pula dalam ucapannya mengatakan, memang telah berlaku suatu kebangkitan di negara-negara Arab tersebut dan ini merupakan satu perkembangan yang amat positif terhadap kebangkitan Islam. Sayangnya sebahagian besar umat Islam yang bangkit itu bukan untuk merubah sistem, tetapi kerana kebangkitan emosi yang ingin menumbangkan rejim sedia ada. "Kebangkitan hakiki ialah adalah apabila umat Islam itu ingin berubah dari segi pemikiran yakni pandangan hidup yang berasaskan akidah dan sistem, dari sistem kufur menuju sistem Islam. Inilah kebangkitan sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yakni merubah akidah manusia dan sistem hidup manusia, dari kekufuran menuju Islam" katanya dengan penuh semangat.

Abdul Hakim seterusnya menekankan kepentingan pemahaman umat yang jernih mengenai ‘thalabun nusrah’ sebagai usaha Rasulullah dan menjadi hukum syarak ke atas umat Islam di dalam perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam. Thalabun Nusrah yang diperolehi dari ahlul quwwah inilah sebenarnya yang akan dapat merubah kepimpinan sekular yang ada sekarang kepada kepimpinan Khilafah” jelasnya.

Seperti biasa, Munaqashah diakhir dengan bacaan doa dan majlis bersurai kira-kira jam 1.30 petang.

 


 


http://www.mykhilafah.com/aktiviti-htm/2662-htm-perjelas-revolusi-arab-benar-atau-salah

Post a Comment

Previous Post Next Post