Assalamualaikum,

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana terus diberi ruang dan peluang untuk berkongsi kisah perjalanan ibadah Haji saya di bumi turunnya Al-Quran ini Madinah dan Makkah . Bumi yang menyaksikan bangkitnya Islam menjadi sebuah negara superpower dan menyebarkan luaskan Islam ke seluruh dunia. Dengan usaha para sahabat Nabi s.a.w kita itulah akhirnya kita dapat memeluk agama Islam dengan rahmat dari Allah s.w.t.

Hotel Movenpick Madinah, tempat penginapan kami selama 9 hari di Madinah Al-Munawarah. Alhamdulillah hotel ini jaraknya ke Masjid Nabawi sekitar 5-10 minit sahaja masa perjalanan.


Betapa seronoknya saya kerana kini telah berada di Madinah, sebuah tanah yang menjadi tapak pertama dirinya Daulah Islamiyyah yang pertama di mana Nabi s.a.w menjadi Khalifah ( Ketua Negara) . Di mana berlakunya hijrah Nabi s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah setelah mendapat nusrah dari Kaum Ansar Madinah.
Bersama Tuan Hj Mior bergambar di depan Masjid Nabawi. Dapat di perhatikan di belakang kami, payung besar telah dikuncupkan sekitar jam 5.00 petang dan payung besar tersebut akan dibuka semula keesokan harinya sekitar jam 6.00 pagi.

Payung besar di luar Masjid Nabawi yang telah dibuka.

Betapa sayangnya baginda Nabi terhadap penduduk-penduduk Madinah ini. Kerana mereka telah menjadi penolong agama Allah s.w.t. Bagi jemaah haji Malaysia yang datang ke Madinah, pihak tabung Haji telah mengaturkan dua aktiviti ziarah di sekitar Madinah dan yang yang pertama adalah ziarah dalam dan sekitar masjid Nabawi. Kami telah berkumpul di hadapan lobi Movenpick Hotel sekitar jam 6.30 pagi.

Jemaah haji akan dibawa oleh pihak pengurusan tabung Haji untuk mengunjungi Masjid Nabawi dan tempat-tempat dalam masjid Nabawi dan sekitarnya yang dibawa seperti di bawah ;
a) Maqam Nabi Muhammad 
b) Maqam Abu Bakar As-Siddiq
c) Maqam Umar Al-Khattab
d) Tempat dipanggil Rawdhah ( Taman Syurga)
e) Perkuburan Baqi ( Tempat keluarga Nabi dan sahabat di maqamkan)

Alhamdulillah, amat bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah memberikan peluang kepada kami untuk berada di Madinah. Tempat pertama yang kami akan ziarah adalah Makam Junjung Besar Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w, kami masuk melalui pintu Babussalam. Untuk pengetahuan semua jalan menuju ke Maqam Nabi dan 2 sahabat baginda ( Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab) adalah sehala dan perlu masuk melalui pintu Babussalam dan keluar melalui pintu Baqi.

R&R yang kami singgah semasa dalam perjalanan dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Di sini kami makan tengahari dan menunaikan solat Jamak Zuhur dan Asar.

Aturan ini pada hemat saya memang amat baik kerana dalam waktu-waktu puncak, jumlah jemaah yang agak ramai akan beratur untuk menziarahi makam Nabi terutamanya selepas waktu solat-solat fardhu. Untuk ziarah pagi itu, agak baik kerana tidak terlalu ramai jemaah lain yang menziarahi makam Nabi maka perjalanan adalah sedikit lancar. Maka kami pun memberi salam kepada Nabi Muhammad, sahabat baginda Abu Bakar dan Umar Al-Khattab.

Pintu masuk Babusalam, bagi yang ingin ziarah Makam Nabi perlu mengikut pintu ini dan seterusnya keluar melalui pintu Baqee. Jalan sehala dari Pintu Babusalam ke Pintu Baqee.

Dalam perjalanan menuju ke Maqam tersebut kami akan melintasi Rawdhah yakni dipanggil sebagai taman syurga di bumi ini sebagaimana hadis Nabi. Kawasannya adalah di antara mihrab Nabi (yang asal) dan rumah Baginda (kini maqam baginda).

Sabda Rasulullah Saw, “Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman surga” (HR. Bukhari no. 1196).
Peta rujukan untuk Masjid Nabawi. Dapat diperhatikan kedudukan pintu-pintu utama di Masjid Nabawi yang kebanyakkan dinamakan sempena nama Para Sahabat baginda Rasulullah seperti Omar Al-Khattab dan Osman Affan.

Perkuburan Baqi Bersebelahan Masjid Nabawi

Setelah selesai ziarah dalam masjid kami bergerak ke kawasan perkuburan Baqi yang menjadi tempat perkuburan buat penduduk Madinah semenjak zaman Rasulullah s.a.w. Malahan di sinilah disemadikan ahli keluarga Rasulullah dan para sahabat yang agung. Untuk pengetahuan semua perkuburan ini dibuka selepas subuh sehingga jam 8.00 pagi sahaja. Untuk wanita tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan perkuburan Baqi melainkan hanya bagi lelaki sahaja.

Gambar yang di ambil dari blog https://takusahrisau.files.wordpress.com, gambaran kedudukan kubur-kubur ahlu bait, sahabat dan tabien di perkuburan Baqi.

Antara ahlu bait, para sahabat dan tabien yang dikebumikan di perkuburan Baqi:
a) Ruqayyah Bt Muhammad s.a.w
b) Imam Malik r.a.
c) Iman Nafi r.a
d) Saidina Uthman Bin Affan
e) Siti Fatimah Bt Muhammad s.a.w
f)  Ibrahim B Muhammad s.a.w
g) Abdul Rahman B Auf
h) Saad Bin Abi Waqqas
i) Saad B Muaz
j) Abdullah B Mas'ud

Dijelaskan bahawa seramai 10, 000 orang sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. yang dikebumikan di perkuburan Baqi. Namun tidak dapat dipastikan yang mana perkuburan-perkuburan tersebut kerana telah diruntuhkan binaan-binaan di perkuburan Baqi atas arahan Kerajaan Arab Saudi. Selain itu meratakan binaan-binaan tertentu di Perkuburan Baqi juga bagi mengelakkan amalan-amalan khurafat dari kalangan jemaah yang hadir untuk menziarahi kubur-kubur tersebut.

Pemandangan dari perkuburan Baqi mengadap Masjid Nabawi Madinah. Setiap kubur hanya di tanda dengan batu sahaja. Tiada sebarang indikasi atau binaan yang menandai kubur atau makam siapakah itu, namun untuk ahlu bait, para sahabat dan tabien, pengetahuan melalui informasi yang diberikan oleh pihak pengurusan masjid Nabawi.

Kami pun memasuki kawasan perkuburan tersebut. Dan berbeza dengan perkuburan di Malaysia, kubur-kubur kita ditandai dengan batu nisan dan seterusnya diletakkan nama si mati. Namun di perkuburan Baqi memang tiada sebarang tanda malahan batu nisannya adalah batu biasa yang tiada tanda apa-apa. Oleh yang demikian amatlah sukar untuk kita mengetahui siapa empunya kubur dikalangan para sahabat ataupun ahli keluarga baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Diterangkan oleh pihak Tabung Haji, untuk kubur-kubur para sahabat dan keluarga nabi ditandai dengan kawasan yang lebih luas dan berlainan dengan kubur-kubur penduduk Madinah yang lain. Dan pemahaman kubur siapakah itu berdasarkan pemberitahuan oleh pihak Arab dan di sampaikan kepada kami. Disitulah kami diberitahu akan pemilik-pemilik kubur tertentu yang ada di Perkuburan Baqi termasuklah seperti Uthman Bin Affan r.a dan Saidina Hamzah r.a.

Kami pun terus memasuki kawasan perkuburan Baqi tersebut bagi ziarah kubur-kubur yang ada disana termasuklah para sahabat dan keluarga Nabi. Moga daripada ziarah ke kubur ini memberikan kami keinsafan akan kematian yang pasti dan tidak siapa dapat lari daripadanya. 
Sekadar ini sahaja penulisan saya berkenaan aktiviti ziarah dalam kami di Masjid Nabawi dan kawasan sekitarnya. Insyallah jika berkesempatan akan dikongsikan perjalanan kami dalam aktiviti ziarah luar ke Masjid Quba, Jabal Uhud dan Masjid Dua Kiblat. Moga perkongsian yang tidak seberapa ini menjadi rujukan buat teman-teman semua. Sebarang teguran dan komen juga amatlah di alu-alukan moga saya dapat menambah baikkan penulisan agar lebih informatif kepada semua pembaca.

Sekian,

www.iskandar581.blogspot.com

29 October 2014 bersamaan 5 Muharram 1435H.

Post a Comment

Previous Post Next Post