Asslamualaikum,

   
Pasti ramai dikalangan rakyat Malaysia yang menanti keputusan Mahkamah terhadap kes Liwat II bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perjalanan karier politik DSAI memang penuh berliku dalam karier politik beliau sepanjang bersama UMNO dan juga selepas bersama Pakatan Rakyat atas tiket Parti Keadilan. Malahan Parti yang ditubuhkan itu juga adalah sempena kes Liwat I yang disabitkan kepada beliau. Dan kini beliau kembali ke Penjara Sungai Buloh di mana tempat beliau ditahan sebelum ini.

    Sebagai saudara muslim, biarpun bukan saling mengenali, saya tetap mengagumi beliau dari segi keteguhan dan ketabahan dalam memperjuangkan sistem demokrasi di Malaysia. Biarpun secara teori dan praktikal saya menentang sistem demokrasi, namun dari aspek perjuangan dan motivasi yang ada pada DSAI memang amat dikagumi dalam usaha beliau untuk membentuk sistem demokrasi yang bersih di Malaysia. Alangkah indahnya jika beliau menjadi pejuang Khilafah dan berusaha untuk mengembalikan Daulah Khilafah Islamiyyah dan memperjuangkan Islam agar diterapkan di Malaysia bagi mengantikan sistem Demokrasi.

    Tapi jelasnya takkan ada di dunia ini yang dapat mewujudkan sebuah sistem demokrasi yang telus selagi mana sistem tersebut tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, selama mana kita menyakini sistem buatan manusia itu lebih baik dari sistem yang telah di ajar dan di bawa oleh baginda Muhammad s.a.w, maka akan gagal untuk diterapkan sistem Islam dengan sempurna (kaffah).
Dalam banyak liputan berita tentang kes DSAI ini, saya tertarik dengan kenyataan daripada Dato Seri Hadi Awang yang merupakan Presiden Pas, beliau mengatakan dengan hukum Syariah sahaja DSAI akan dapat keadilan dalam kes Liwat II ini. Benarlah perlembagaan Persekutuan dan seterusnya sistem mahkamah sivil yang di emban di Malaysia tidak akan memberi keadilan berbanding dengan hukum-Nya dan sistem-Nya.
     Hanya dengan pelaksanaan hukum Allah sahaja akan dapat memberi kesejahteraan dan keadilan kepada seluruh umat Islam. Sistem uqubat Islam itu jelas dan telah termaktub didalam Al-Quran dan As-Sunnah namun pemerintah tetap sahaja meninggalkannya dan mengagungkan sistem kufur untuk diterapkan di Malaysia. Malahan sistem Hudud yang dianjurkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) juga tidak mendapat sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaanya di Kelatan. Malahan dikalangan pengalisis politik juga menjangkakan bahawa artikel Hudud yang akan dibawa oleh Kerajaan Negeri Kelatan itu tidak akan berjaya melepasi beberapa syarat dalam sistem Demokrasi yang memungkinnya untuk dilaksanakan di Malaysia.


Mahkamah Sivil vs Mahkamah Syariah

     Adakah kita cukup memahami latar belakang mahkamah sivil dan mahkamah syariah? Apakah perbezaan yang dan ciri pelaksanaannya di Malaysia. Bagi mahkamah syariah, ianya hanya dipraktikkan kepada orang beragama Islam sahajalah dan kes hukuman untuk yang melibatkan penjara maksimum 3 tahun, denda tidak melebihi 5000 atau gabungan kedua-duanya ( Pindaan tahun 1984). Walhal berbeza dengan perintah Allah itu bahawa sistem perundangan Islam itu tidak terhad kepada orang Islam sahaja tetapi untuk seluruh warga daulah samada Islam ataupun non-Islam (kafir dhimmi yang membayar jizyah kepada Daulah Khilafah).


    Dualisme di Malaysia itu yakni dua sistem perundangan telah menjadikan Mahkamah Syariah itu sebagai alternatif undang-undang walhal ianya sepatutnya menjadi asas perundangan sesebuah negara yang mengatakan sebuah Negara Islam ( Islamic State). Yang paling jelas, mahkamah sivil tidak berpandukan hukum Allah, segala perbicaraan yang dijalankan berdasarkan sistem perundangan Barat semata-mata.

   Apakah sumber penentuan hukum bagi Mahkamah sivil? Pastinya ia berpandukan kes-kes terdahulu yang berlegar di dalam kerangka sistem kapitalis dan akhirnya keadilan itu gagal dicapai. Mahkamah sivil dibahagikan kepada dua bahagian utama.
  • Mahkamah Atasan yang terdiri dari mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Kalau mengikut hierarki Mahkamah Persekutuan adalah yang paling tertinggi dalam sistem perundangan sivil di Malaysia.

  • Mahkamah Persekutuan terdiri daripada presiden iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, 2 ketua Hakim (Mahkamah Tinggi Malaya dan Sabah dan Sarawak). Maka jumlah hakim dalam Mahkamah Persekutuan adalah 4 orang Mahkamah Persekutuan.
   Ketua Hakim Negara ialah ketua badan kehakiman Malaysia. Dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan mendapat nasihat PM selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Sejauh mana pengaruh Ketua Hakim dengan dalam melaksanakan tugas harian andai yang melantik dan menemuramah itu oleh adalah  Perdana Menteri ?

     Apa yang berlaku dalam kes liwat II DSAI, beliau telah disabitkan bersalah di Mahkamah Rayuan dan beliau telah menentang keputusan tersebut dengan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan. Secara strukturnya begitulah perjalanan di dalam perundangan sivil di Malaysia. Jelasnya perundangan sivil adalah di atas undang-undang syariah malahan beberapa kes mahkamah sivil boleh membatalkan keputusan mahkamah syariah.

    Sedangkan kes DSAI ini adalah kes liwat, yang jelas telah dibahaskan dalam sistem perundangan Islam, tapi mengapakah perlu dibicarakan dibawah sistem perundangan sivil? Walhal kedua-dua samada yang dituduh dan yang menjadi mangsa itu adalah orang Islam, tapi mengapa mereka menggunakan sistem perundangan sivil ?

     Contohnya kekuasaan mahkamah Rayuan adalah dalam mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan. Ini melibatkan peristiwa mak andam lelaki yang memohon untuk berpakaian wanita.

   Dalam perbicaraan di atas Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan yang dibuat di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Asas yang digunapakai dalam perbicaraan tersebut adalah PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA. Perlu diteliti di sini, dasar pemerintahan kerajaan Malaysia adalah kita diatur dengan perlembagaan yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah itu sebagai sumber hukum, sebaliknya sumber hukum itu datangnya dari suara majoriti dan akal manusia semata-mata.
Ketiga-tiga mak andam itu mengfailkan bantahan mereka terhadap keputusan mahkamah syariah yang melarang mereka berpakaian seperti wanita di Mahkamah Tinggi, namun telah ditolak. 
Kemudian  mereka telah mengemukakan semakan bagi keputusan mahkamah tinggi menerusi Mahkamah Rayuan terhadap keputusan kehakiman di Mahkamah Rayuan. Dan penghakiman di Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka yang diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin dan 2 hakim lagi.
     Perkara di atas memang tidak pelik bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sekular, yang meletakkan akal manusia itu sebagai pembuat hukum. Mahkamah syariah atau undang-undang Islam itu sekadar pelengkap bagi sebuah negara demokrasi yang majoriti rakyatnya adalah umat Islam. Walhal kita telah diperintahkan Allah untuk menerapkan Islam itu secara kaffah dan bukannya sebahagian sahaja.
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.Al-Baqarah:208
Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Al-Maidah:3
     Begitulah yang berlaku di Malaysia, mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa sebagaimana yang ada dalam kerangka kuasa mahkamah sivil. Malahan beberapa kes rakyat Malaysia yang beragama Islam itu boleh sahaja tidak menggunakan Mahkamah Syariah untuk menghakimi mereka, sebaliknya boleh menggunakan sistem kehakiman sivil/awam.


Sistem Perundangan di Dalam Daulah Khilafah



     Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita agar mengambil Islam itu secara keseluruhan dan bukannya mengambil sebahagian atau memilih yang bersesuaian sahaja dengan kehendak mereka. Perkara asas untuk menerapkan sistem perundangan Islam itu hanya mampu dilaksanakan dengan tertegaknya Daulah Islamiyyah, tanpa negara penerapan undang-undang Islam itu pasti akan menuju kegagalan.

     Di dalam Daulah Khilafah terdapat 3 jenis mahkamah iaitu Qadhi Biasa, Qadhi Muhtasib dan Qadhi Mazalim. Perkara asas dalam perundangan Islam adalah meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah itu sebagai sumber hukum dalam mengadili sesuatu persengketaan atau jenayah di dalam Daulah Khilafah.

    Keistimewaan dalam sistem perundangan Daulah, ia mempunyai mahkamah Mazalim yang bertugas melayani pengaduan umat tentang individu yang terlibat di dalam pemerintahan termasuklah Khalifah dan Muawin. Mereka akan dihakimi di dalam mahkamah tersebut dan semasa proses perbicaraan sedang dijalankan Khalifah tidak boleh memecat atau mengantikan Qadhi (Hakim) Mahkamah Mazalim.

   Berbeza dengan sistem kehakiman demokrasi, tiada mahkamah yang mampu membicarakan salahlaku pemerintah atau kakitangannya sebagaimana dalam sistem Khilafah, oleh yang demikian kita sentiasa diberitakan kesalahan yang dilakukan oleh pihak pemerintah malahan boleh dikatakan mereka seolah-olah kebal dibawah sistem kehakiman demokrasi itu.
Tidak pelik beberapa kes yang dibicarakan dibawah mahkamah sivil itu mempunyai hukuman kesalahan yang tidak adil, double standard hukuman yang dikenakan ke atas orang awam, berbeza dengan orang "pemerintah" yang diberikan hukuman yang lebih rendah malahan beberapa kes dibebaskan.
    Manakala mahkamah Al-Muhtasib adalah mahkamah yang melayani permasalahan seharian yang berlaku dalam masyarakat yakni perlanggaran yang mengganggu keamanan dan keselamatan awam contohnya melanggar lampu merah, meletak kereta dikawasan larangan ataupun menganggu ketenteraman awam dengan berbuat kacau dan sebagainya. Al-Muhtasib membicarakan kes selain Hudud dan Jinayat, kedua-dua kes tersebut akan di bicarakan di dalam Mahkamah Biasa.

     Mahkamah Biasa (Qadhi Biasa) pula bertindak sebagai hakim yang mengurusi perselisihan umat (anggota masyarakat Islam termasuk ahlu Dhimmi) dalam urusan mualamat ( jual beli ) dan uqubat ( termasuk Hudud dan Jinayat ) . Mahkamah ini akan membicarakan dan menghakimi berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah itu dalam perselisihan yang berlaku diantara dua atau lebih pihak yang berselisih.

     Untuk rincian perbincangan topik penghakiman dalam Daulah Khilafah ini, saudara/i boleh juga melayari mykhilafah.com untuk membaca penulisan Sautun Nahdhah seperti link berikut http://www.mykhilafah.com/index.php/sautun-nahdhah/5013-sn407-al-qadha-pengadilan-dalam-islam.

Moga bermanfaat untuk kita semua.

Iskandar Musa

3 Mac 2015

"Kejatuhan Daulah Khilafah Pada 3 Mac 1924"... tahun ini genap 91 tahun tanpa Daulah Khilafah.

Post a Comment

Previous Post Next Post