[SN223] Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP sekali lagi diserang hebat oleh UMNO dan media massa kepunyaan mereka. Kali ini adalah rentetan pendedahan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Pulau Pinang, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang membuktikan kerajaan negeri menerima baki wang sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang di mana wang tersebut telah digunakan untuk sumbangan kepada warga emas yang miskin [UM 25/09/10]. Hasilnya, puluhan warga emas telah memulangkan semula wang tersebut di dalam majlis ‘besar-besaran’ yang ‘dianjurkan’ oleh UMNO. Hampir kesemua warga emas yang memulangkan wang tersebut diwawancara oleh pihak media yang begitu teruja ingin melaporkan hal itu. Sebagaimana diketahui umum, wang tersebut telah dikembalikan atas alasan bahawa ia adalah bersumber dari judi atau telah bercampur dengan sumber judi.