Bila ada sahaja perayaan agama seperti Maulidur Rasul atau Sambutan Maal Hijrah, khutbah-khutbah dan ceramah agama tidak kering gusi dari membincangkan sama ada perkara tersebut adalah bidaah atau tidak. Namun bila berlaku 'Larian Obor Olimpik', ceramah agama dan khutbah ini macam terbungkam mulut mereka untuk membincangkannya, sama ada menghukumnya bidaah atau tidak. Tidak ada mufti yang bersuara dalam hal ini, mungkin kerana mereka menganggap perkara ini mubah atau kerana ketidak prihatinan mereka untuk mengetengahkan isu ini dalam masyarakat.


Jadi sebelum kita melihat larian obor ini sesuai atau tidak dengan syariah Islam maka marilah kita mengkaji realiti terlebih dahulu dan sejarah larian obor ini. Kemudian dari sini barulah kita bertolak kepada hukum syarak berkenaan dengan masalah ini.Api Olimpik, Obor Olimpik, dan Cahaya Olimpik semuanya merupakan nama-nama bagi satu lambang promosi Sukan Olimpik. Asal-usulnya terletak di Yunani Kuno di mana sebuah api dibiarkan bernyala sepanjang sambutan sukan Olimpik Kuno, serta memperingati kecurian api ini dari dewa Zeus oleh Prometheus. Api ini diperkenalkan semula pada Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, dan semenjak itu menjadi sebati dengan Sukan Olimpik. Larian obor dari Greece ke tapak sukan moden itu tiada dalam temasya Olimpik kuno, sebaliknya diperkenalkan oleh Carl Diem, dengan sokongan Joseph Goebbels, di Olimpik Berlin 1936 yang diselubungi kontroversi sebagai cara memupuk fahaman Nazi. [The New York Times 14.08.2004]

Bagi masyarakat Yunani kuno, api membawa erti kerohanian. Api suci ini dikisahkan pernah dicuri dari dewa-dewi oleh Prometheus. Maka, api boleh dijumpai di kebanyakan tempat suci di Olympia, Yunani. Sebuah api yang membara secara berpanjangan di atas masbah Hestia di Olympia, Greece. Ketika berlangsungnya temasya Olimpik yang memberi penghormatan kepada Zeus, api tambahan di kuilnya dan juga kuil ratunya Hera. Api Olimpik moden dinyalakan di tapak di mana pernah didirikan kuil Hera. [www.wikipedia.org]


Setelah kita melihat dengan jelas bahawa larian obor dan nyalaan obor ini adalah berasal dari akidah khurafat masyarakat Rom dan juga merupakan hadharah (peradaban) kufur. Sedangkan Rasulullah melarang umat Islam mengikuti jejak langkah dan apa yang dilakukan oleh orang kafir. "Dari Ibn Umar Radiyallahu anhu berkata : Bersabda Rasulullah Shalallahu alaihi wassalam : Barangsiapa yang menyerupai satu satu kaum, maka ia telah menjadi golongan mereka". HR Ahmad, Abu Daud dan Tabrani.

Apakah negara dan pemerintah kita berbangga dengan menjalankan aktiviti yang dilakukan oleh Penyembah api dan Pemuja Api, tidakkah ini sama macam Majusi. Adakah pemerintah kita hari ini bangga kerana tidak ada kekacuan dalam majlis yang berasal dari Majlis Keagamaan bangsa Rom. Tidak adakah Mufti yang ingin memberi fatwa menolak amalan Jahiliah ini. Apakah perkara inipun kita terpaksa menunggu khilafah untuk menghapuskannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post