Assalamualaikum,

Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita, andai masa yang ada sepanjang di tanah haram tidak dimanfaatkan sepenuhnya, amatlah rugi bagi saya mahupun mana-mana jemaah haji yang hadir. Hari Wukuf telah ditetapkan pada 3 October 2014 bersamaan 9 Dzulhijjah 1435H. Semua jemaah Haji Malaysia bertolak lebih awal ke tanah Arafah yakni pada 8 Dzulhijjah bersamaan 2 October 2014. Seperti yang telah dijadualkan kami Maktab 89 dari hotel Land Premium telah berangkat ke padang Arafah pada jam 3.30 petang 2 October. 

Beginilah suasana solat Jumaat seminggu sebelum Hari Wukuf. Sepanjang jalan dari hotel 950m, penuh dengan jemaah yang bersolat di jalan tar dan kaki jalan. Suhu sekitar 49 darjah celcius.


AJK TH telah memaklumkan agar semua jemaah bersiap sedia di aras masing-masing pada bermula  jam 2.00 petang. Untuk itu saya ingin berkongsi dengan saudara/i berkenaan barangan yang perlu untuk dibawa ke Arafah, Muzdalifah dan Mina;

Pakaian

1. Baju Ihram tambahan - sehelai sahaja  (bukan sepasang)
2. Baju Melayu/Jubah - 1 helai
3. Kain Pelikat tidak berjahit - 1 helai
4. Singlet berpoket- 1 helai
5. Seluar tracksuits / slack- 1 helai
6. Tuala- 1 helai
7. Sapu tangan atau tuala kecil

Alatan Lain ( Wajib Ada)

1. Torchlight - 1 bijik ( untuk mengutip batu)
2. Kasut- 1 pasang ( untuk berjalan Hari Tasyrik) 
3. Ubatan bagi kes-kes kecemasan i.e panadol
4. Charger HP termasuk plug Arab
5. Gunting/Pencukur untuk tahalul
6. Buku Kesihatan 
7. Hanger untuk sangkut baju
8. Kipas Kecil berbateri
9. Alatan mandi ( berus gigi,ubat gigi dan etc)
10. Tikar lapik tanah
11. Sejadah ( boleh tak bawa, pakai tikar)
12. Karung batu and karung selipar - 1 unit
13. Tali untuk gantung-gantung dalam 3 meter

Alat-alat sampingan

1. Extension cable ( boleh pakai di Mina)
2. Makanan seperti kurma, roti, 3 in 1 air
3. Bekas air 500 ml
4. Pengepit baju - 3 unit
5. Payung
6. Beg belakang yang simple / gantung 
7. Kamera 
8. Buku-buku nota bacaan doa
9. Bekas Air Panas 250ml

Barang-barang di atas adalah sekadar cadangan untuk dibawa, untuk keluar 6 malam 7 hari ( 1 malam di Arafah,1 malam di Muzdalifah, 4 malam di Mina), tidaklah perlu membawa barangan yang berlebihan kerana akan menyusahkan diri untuk membawa menaiki bas yang mempunyai ruang yang terhad. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, pergerakan kita akan menggunakan bas untuk beberapa pergerakan berikut;

  • Hotel ke Padang Arafah ( 8 Dzulhijjah - lepas Zuhur ) 
  • Padang Arafah ke Muzdalifah ( 9 Dzulhijjah - lepas Maqrib ) 
  • Muzdalifah ke Mina ( 9 Dzulhijjah - tengah malam 11.45 malam )
  • Mina ke Hotel ( 13 Dzulhijjah- Sebelah pagi )
Maka amat penting bagi jemaah untuk membawa barang yang perlu sahaja. Disarankan hanya membawa maksimum 2 beg sahaja (1 besar and 1 kecil) . Ini adalah bagi mengelakkan sebarang kehilangan beg akibat lupa atau tercicir di tempat-tempat yang dinyatakan di atas. Selain itu, kesabaran amatlah di perlukan terutamanya dalam menanti giliran bas bagi jemaah atau giliran KT.

Setiap jemaah akan diberikan no.bas yang beliau akan gunakan untuk setiap pergerakan, maka amat perlu jemaah berdisiplin agar Haji yang diimpikan tidak tercalit akan kemambrurnya. Apa salahnya sementara menunggu bas tersebut diisi dengan bacaan Al-Quran atau berzikir daripada kita membebel dan akhirnya terjebak mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh memberi dosa-dosa kecil, Nauzubillahminzalik.

Sesungguhnya kita berada di tempat dimuliakan oleh Allah dan para Malaikat turun di langit-langit Arafah, maka berdoalah kepada Allah mendapat keampunan-Nya. Alhamdulillah kami selamat sampai di Arafah sekitar 4.30 petang, siap-siap letak beg terus sertai jemaah yang sedang tunaikan solat Asar.

Bermulalah perjalanan Haji sebenar bagi kami bermula petang itu yakni 8 Dzulhijjah, ilmu-ilmu yang telah dipelajari dahulu selama berbulan-bulan kini tiba masanya untuk dipraktikkan. Kini semua ilmu yang telah di praktis dalam kursus intensif Haji dan Kursus Perdana Haji bakal di praktis untuk situasi sebenar. Adakah saya sudah bersedia?

Insyallah saya akan berkongsi beberapa perkara menarik sepanjang aktiviti Wukuf dan rukun Haji dan wajib haji yang lain. Nantikan.....

Sekian Warkah dari Makkah Al-Mukaramah.


8 Dzulhijjah 1435H bersamaan 2 October 2014
Previous Post Next Post