Assalamualaikum,

Untuk maklumat teman-teman pembaca sekalian bahawa wukuf kami pada Jumaat ini bersamaan 9 Dzulhijjah 1435H (3 Oct 2014). Jemaah Haji Malaysia akan bertolak ke tanah Arafah pada 2 October 2014 bermula jam 11.00 pagi . Semua jemaah haji akan bergerak secara bertahap-tahap dari hotel masing-masing dari kota Makkah menuju padang Arafah, khemah disediakan mengikut negara jemaah haji i.e. Malaysia, Indonesia, China and sbg. Untuk kami Maktab 89, kami belum dimaklumkan lagi masa untuk kami bertolak ke Arafah. Kami akan bermalam di Arafah semalam sebelum bergerak ke Muzdalifah lepas Maqrib 9 Dzulhijjah, lepas tengah malam 11.45 malam bergerak ke Mina. Melontar Jamrah Kubra akan di lakukan pada 10 Dzulhijjah bersamaan dengan 4 October 2014. Setakat ini, yang di maklumkan untuk kami jemaah Malaysia akan melontar di sebelah pagi sebelum jam 9.00 pagi atau selepas waktu Isyak.

Tempat-tempat yang kami lawati sepanjang Ziarah Hudaibiyyah. Disebelah kiri adalah Masjid Hudaibiyyah (baru) dan tinggalan dari binaan yang lama (atas).


Moga teman-teman mendoakan perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia dengan baik tanpa sebarangan perkara yang tidak diingini. Buat masa ini, beberapa jemaah Haji Malaysia ada yang telah kembali ke rahmatuallah, moga roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. biarpun mereka belum dapat menyempurnakan ibadah Haji.

Berbalik kepada perjalanan ziarah saya ke Hudaibiyyah. Kami bergerak dari hotel Land Premium sekitar jam 8.00 pagi menggunakan bas yang telah disediakan oleh pihak muasasah. Ada dua buah bas yang menyertai aktiviti ziarah kami kali ini. Untuk setiap bas akan ada seorang ustaz sebagai pembicara untuk menjelaskan kepada semua jemaah serba sedikit peristiwa Hudaibiyyah, beliau menjelaskan serba sedikit berkenaan dengan kisah Hudaibiyyah dan kesannya kepada pengembangan Islam. Untuk aktiviti ziarah ini tidak termasuk dalam pakej Tabung Haji, maka akan dikenakan bayaran SR25 untuk setiap jemaah. Senarai tempat-tempat yang kami lawati adalah;

1. Muzium yang mempaparkan sejarah pembangunan Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi
2. Pasar Buah (pelbagai produk buah-buahan yang dijual termasuk kurma)
3. Masjid Hudaibiyyah (untuk berniat ihram umrah sunat), tempat berlaku perjanjian Hudaibiyyah

Tempat persinggahan pertama kami adalah di Muzium Hudaibiyyah atau Muzium Haramain. Di dalam muzium ini terdapat artifak-artifak peninggalan sejarah bagi masjidil haram dan juga masjid An-Nabawi. Kedua-dua buah masjid ini telah mengalami perubahan yang besar sepanjang di bawah pemerintahan Khilafah Islam dan juga  kerajaan Saudi.

Secara ringkas, perjanjian Hudaibiyyah juga berlaku dalam bulan Haji (Dzulkaedah) pada tahun 628 M. Di riwayatkan seramai 1400 orang Islam Madinah bersama Rasulullah s.a.w bergerak ke Makkah bagi menunaikan haji pada tahun itu tapi dihalang oleh pihak Quraisy. Pihak muslim menghantar Saidina Uthman Bin Affan untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan jemaah Haji dari Madinah memasuki kota Makkah, namun berita tersebar bahawa Saidina Uthman telah dibunuh. Rentetan peristiwa itu berlakunya baiah Ridhwan, angkat setia untuk membalas tindakan pihak Quraisy terhadap Saidina Uthman.

Mengetahui bahawa umat Islam akan membalas dendam dengan kematian Saidina Uthman, pihak Quraisy membebaskan beliau dan menghantar wakil bernama Suhail untuk berbincang dengan Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam dan perjanjian itu berlaku di Hudaibiyyah. Disitulah bermulanya perjanjian yang dinamakan Perjanjian Hudaibiyyah.

Peristiwa terpenting ini juga berlaku dalam musim Haji. Lantas kita perlu memahami bahawa apa yang berlaku pada zaman Rasulullah, ibadah haji itu bukan hanya ibadat ritual sebaliknya bagaimana aktiviti politik Nabi s.a.w dalam menyebarluaskan Islam dengan terbentuknya sebuah Daulah Islam yang pertama di Madinah. Melalui perjanjian Hudaibiyyah ini jugalah Islam lebih cepat tersebar di seluruh jazirah Arab, biarpun diawalnya disangka berat sebelah dan menguntungkan pihak Quraisy. Namun hasil kebijaksanaan Rasulullah s.a.w, perjanjian tersebut telah memberi kelebihan kepada Islam.

Begitulah secara ringkas dakwah Rasulullah demi Islam dan kita wajib memahaminya dalam konteks ibadah ritual dan juga aktiviti politik yang Rasulullah lakukan . Kami seterusnya memasuki Muzium Hudaibiyyah, di sini dapat dipelajari sejarah perkembangan kota Makkah. Bagaimana perjalanan pembesaran Masjidil Haram dari zaman Khilafah-khilafah terdahulu sehingga zaman Kerajaan Arab Saudi.

Muzium Hudaibiyyah- Disini terdapat monumen-monumen penting peninggalan pemerintah Islam dahulu termasuklah barangan dari Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi.

Melihat banyak monumen-monumen berkaitan kaabah seperti pelindung Maqam Ibrahim, pintu kaabah, kunci kaabah, tiang teras di dalam kaabah, gambar-gambar dahulu kaabah (zaman terdahulu), dan beberapa monumen masjid An-Nabawi.

Juga dikongsi di situ adalah perkembangan telaga zam-zam, bagaimana dulu tenaga zam-zam boleh di akses melalui maqam Ibrahim namun kita telaga tersebut telah ditutup dan tidak dapat dimasuki oleh orang biasa lagi. Beberapa contoh pembangunan yang dilakukan contohnya ada pusat pengagihan air yang membolehkan lori-lori tangki air masuk untuk mengisi air zam-zam, dan seterusnya dieksport ke Madinah (Masjid An-Nabawi).

Kami juga singgah di Masjid Hudaibiyyah, di sini kami berniat Ihram Umrah dan merupakan miqat Makani (untuk berniat Ihram umrah atau Haji). Masjid ini dibina oleh baginda Rasulullah bertepatan dengan peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah 628M di antara pihak Islam dan pihak Quraisy. Bangunan lama masjid tersebut masih ada, dan kesan bangunan itu yang telah runtuh. Namun bangunan ini telah menyaksikan peristiwa yang terpenting dalam perjalanan dakwah Daulah Islam pertama yang dipimpin oleh baginda Rasulullah. Selepas ke Masjid Hudaibiyyah kami menuju ke Pasar Buah dan seterusnya pulang semula ke Makkah Al-Mukarramah. Bagi yang sudah berniat umrah, perlu menyempurnakan ibadah tawaf, saie dan bertahalul (bergunting atau bercukur). Sekian dulu buat masa ini, akan bersambung kembali selepas menyempurnakan Rukun Haji sehingga 13 Dzulhijjah 1435H.


Dari Makkah Al-Mukarramah


1 Hari Menuju Hari WUKUF ( 9 Dzulhijjah 1435H)
Previous Post Next Post