Assalamualaikum,

Apabila kita membicarakan hari Jumaat, seluruh umat Islam akan mengatakan akan keberkatan hari tersebut malahan dinyatakan oleh Allah s.w.t tidak akan berlaku Hari Kiamat itu melainkan pada hari Jumaat. Dan banyak lagi ayat Al-Quran mahupun hadis yang membicarakan tentang hari Jumaat dan keistimewaanya.

"Dan tidak akan terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat," (HR Muslim).

Penginapan penulis bersama-sama jemaah Haji yang lain di Land Premium Hotel, Makkah Al-Mukarramah.



Seterusnya, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang kurniaan Allah s.w.t di hari Jumaat sepanjang perjalanan ibadah Haji saya 1435H ini . Beberapa tarikh penting dalam perjalanan menasik Haji saya berlaku dalam hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari. Tarikh tersebut adalah pada 12 September 2014, 3 October 2014 dan 31 October 2014. Ketentuan Allah s.w.t, hari-hari pada tarikh tersebut adalah hari Jumaat....Alhamdulillah.

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakan Nya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Hari Ketibaan di Makkah (12.9.14/ 17 Dzulkaedah 1435H Jumaat)

Hari Jumaat  yang pertama adalah ketibaan saya di kota suci Makkah yakni pada hari Khamis malam Jumaat. Dan saya memasuki ke Tanah Haram sekitar jam 1.00 pagi bersamaan Hari Jumaat 12.9.14.

Ibadah umrah pertama saya juga di laksanakan pada Hari Jumaat pertama kami di kota Makkah yakni pada 12.9.14. Alhamdulillah saya berjaya menyempurnakan ibadah umrah saya pada hari Jumaat tersebut. Hari pertama saya menjejaki kaki ke Masjidil Haram adalah pada hari Jumaah (12.9.14) bersamaan 17 Dzulkaedah 1435H.

Hari Wukuf di Arafah (3.10.14/ 9 Dzulhijjah 1435H Jumaat)

Kerajaan Arab Saudi (Mahkamah Agung) telah mengisytiharkan 1 Dzulhijjah bermula pada hari Khamis (25.9.14) dan wukuf akan jatuh pada hari Jumaat minggu hadapannya bertepatan dengan 9 Dzulhijjah 1435H. Apabila Hari Jumaat bertembung dengan Hari Wukuf di Arafah, maka haji tahun itu dikenali sebagai Haji Akhbar. Hari Raya Haji pula jatuh pada Sabtu 4 October 2014 bersamaan 10 Dzulhijjah 1435H.

Tapi agak pelik di Malaysia kerana Hari Raya disambut pada hari Ahad bersamaan 5 October 2014 kerana Malaysia bermula 1 Dzulhijjah pada hari Jumaat. Namun perbezaan ini tidak boleh berlaku kerana Hari Raya Haji sepatutnya mengikut Hari Wukuf di Arafah kerana ia akan berkaitan dengan Puasa Sunat Arafah bagi yang tidak mampu menunaikan ibadah Haji.

Haji Akhbar buat semua tetamu Allah pada tahun ini, betapa besarnya pahala wukuf di hari yang penuh keberkatan dalam Islam ini. Pelbagai pendapat dari ulama' terdahulu berkenaan dengan Haji Akhbar "Haji Besar " dan mempunyai ijitihad yang berbeza. Ada pendapat mengatakan Hari Wukuf pada hari Jumaat menjadi Haji Akhbar kerana ia merupakan ibadah terbesar dalam ibadah Haji.

Imam An-Nawawi juga mengatakan, “Ulama berselisih pendapat mengenai apa yang dimaksud hari haji akbar. Ada yang mengatakan, hari Arafah. Sementara Imam Malik, Imam as-Syafi’i, dan mayoritas ulama berpendapat bahwa haji akbar adalah hariNahr (Idul Adha)… sebagian ulama menjelaskan, ‘Dinamakan hari haji akbar, untuk membedakannya dengan haji Asghar, yaitu umrah.” (Syarh Sahih Muslim karya An-Nawawi, 9:116).

Hari Tiba di Malaysia (31.10.14 Jumaat)  

Sebagaimana jadual penerbangan kami yang telah ditetapkan, kami akan berlepas dari Jeddah pada 30.10.14 (Khamis) dengan penerbangan malam dan di jadualkan akan tiba waktu Malaysia pada jam 7.40 pagi 31 October bersamaan hari Jumaat.

Sesungguhnya kami amat bertuah kerana kedua-dua perjalanan kami pergi dan balik pada malam Jumaat, malam yang penuh keberkatan di sisi Allah s.w.t .Moga ketibaan kami di Malaysia ini dengan membawa Haji yang mabrur dari tanah Haram . Jemaah Haji tahun ini  memang amat bertuah kerana telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk menjadi tetamunya seterusnya menganugerahkan kami dengan Hari Wukuf jatuh pada Jumaat 3 October 2014 bersamaan 9 Dzulhijjah 1435H.

Tahun terakhir dianugerahkan Haji Akhbar adalah pada tahun 2006 yakni 9 tahun yang lalu. Nah tahun ini 2014, kembali Haji Akhbar yang dinantikan oleh seluruh umat Islam dari serata dunia.

Gelang-gelang pengenalan yang perlu dipakai oleh semua jemaah Malaysia. Ini bagi memastikan jika ada sesuatu yang berlaku, mudah untuk mengenalpasti jemaah Malaysia.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Begitulah serba sedikit perkongsian tentang ketentuan Allah s.w.t buat kami KT-37 jemaah Haji dari Malaysia. Kami di anugerahkan tarikh-tarikh penting ibadah Haji kami pada tahun ini pada hari Jumaat. Moga Allah mengurniakan haji yang mabrur buat kami semua dan doa daripada sanak dan saudara di Malaysia. Mungkin ini merupakan ibadah Haji saya yang pertama dan terakhir sebelum dijemput oleh Allah s.w.t, dan moga ibadah Haji saya ini diterima oleh Allah s.w.t.

Dari Makkah Al-Mukarramah



2 Hari Menuju Hari WUKUF ( 9 Dzulhijjah 1435H)
Previous Post Next Post