Assalamualaikum,

Terima kasih buat surfer-surfer laman sesawang yang sudi melawat laman blogspot saya. Sebagaimana dalam enteri yang sebelum ini berkenaan Pejalan Haji Part 10, ini adalah serba sedikit perkongsian berkenaan hari wukuf di Arafah yang merupakan salah satu Rukun Haji ( wajib buat, tak buat haji tak sah).

Kami telah berada di padang Arafah sejak 8 Dzulhijjah lagi dan telah sampai dalam jam 4.30 petang. Di sini kami ditempatkan di khemah-khemah yang ringkas sekadar untuk berteduh dari panas dek cahaya matahari pada suhu maksimum 49 degree celcius. Berbanding dengan pakej - pakej haji yang lain, mereka bakal menikmati penginapan yang lebih baik di Arafah seperti khemah yang lebih kemas dan mempunyai blower angin seperti yang di tawarkan oleh syarikat-syarikat yang di iktiraf oleh Tabung Haji.

Suasana di dalam khemah di Arafah, waktu malam dan siang. Berbumbungkan kain untuk menghalang dari panas matahari.


Namun pada saya ia tidak menjadikan perkara besar dan ukuran di sisi Allah s.w.t. Bagi Allah biar apapun tempat tinggal kita di padang Arafah, yang paling utama adalah nilai keikhlasan dan ketakwaan kita di saat kita berwukuf di Arafah. Sesungguhnya kepanasan di Arafah itu tidaklah apa-apa berbanding neraka Allah s.w.t yang sudah pasti kita akan tidak mampu menanggungnya. Maka di sinilah tempatnya untuk kita memanjatkan keampunan dari Allah s.w.t dan menginsafi diri di atas segala keterlanjuran yang telah kita lakukan sepanjang hidup di muka bumi Allah ini.

Untuk terlena pada malam tersebut memang agak susah kerana keadaan yang panas serta tidak berangin, dek diri ini yang sudah dididik dengan penghawa dingin, kipas dan suasana dingin. Biarpun khemah kami ringkas serta hanya dilapik dengan karpet, namun cukup untuk menjadi tempat tinggal bagi sepanjang di Arafah. Inilah tempat kami tidur dan makan bagi 2 hari 1 malam.

Banyak sekali pengajaran di Arafah, khemah seringkas inikah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan Islam ke seluruh jazirah Arab, hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Di manakah dan bagaimanakah perjalanan Rasulullah menyusuri padang pasir yang kering dan panas? Sesungguhnya masa inilah kita mula merenung diri, apakah pengorbanan yang telah lakukan demi Islam? Baru penat, berpanas, dan berlapar sekejap kita telah merungut, apakah itu sahaja sumbangan kita mampu lakukan ?

Rasulullah yang dijanjikan syurga pun sanggup berkorban bermati-matian demi Islam. Apatah kita ini yang masih tidak pasti samada syurga atau pun neraka? Maka apakah dengan sumbangan yang amat sedikit ini kita telah  mahukan syurga Allah? Bidadari Allah?

Para jemaah dinasihatkan untuk terus beribadah dan menginsafi diri sepanjang berada di bumi Arafah. Bagi untuk dapat sedikit rehat, saya telah makan ubat batuk dan selesema yang masih ada. Ini antara trick saya untuk dapat tidur dalam keadaan panas di khemah kami.

Kedua-dua ubat ini agak mengantuk, dan memberi saya untuk terlelap selama 2 jam dari 11.30 malam. Bangun jam 2.00 pagi 9 Dzulhijjah, kami terus melakukan solat-solat sunat malam. Mendoakan kami untuk terus diberi kemudahan oleh Allah s.w.t untuk menyempurnakan semua rukun Haji dan Wajib haji. Ibadah Wukuf akan dikira sebaik sahaja masuk waktu Zuhur dan berakhirnya dengan masuk waktu solat Maqrib.

Selepas solat subuh, saya mengambil mengambil  kesempatan untuk tidur sebentar memandangkan dari jam 2.00 pagi tidak lagi mengambil rehat/tidur. Sekitar jam 7.00 pagi bangun dari tidur ,saya dimaklumkan edaran sarapan pagi telah diberikan. Pagi Jumaat 3 Oktober itu sarapan kami adalah nasi lemak bersama sambal dan telur. Memandangkan kepenatan dan kelaparan, saya dapat menghabiskan semua nasi tersebut.


Kisah Pakcik Ibrahim dan Pakcik Ishak

Untuk pengetahuan rakan-rakan juga, di hadapan tempat saya di dalam khemah adalah pak cik Ibrahim yang lumpuh kaki dan duduk di atas kerusi roda. Melihatkan keadaan beliau yang sanggup bersusah dalam keadaan panas dan hanya tidur di atas kerusi roda memang luar biasa. Malahan untuk ke tandas rakan beliau bernama pak cik Ishak akan membawanya. Pengenalan mereka hanya di sini Tanah Haram tapi pertolongan untuk Pak Cik Ibrahim yang stroke ini amat menginsafkan saya.

Inilah nikmat panggilan Haji dan menjadi pembantu untuk tetamu Allah s.w.t. Moga Allah s.w.t menggandakan pahala buat mereka. 

Keikhlasan dan kerajinan memang sangat dikagumi oleh saya, malahan ketika saya telah terlelap, Pak Cik Ishak terus menjaga Pak Cik Ibrahim. Inilah bukti ukhuwah Islam yang luar biasa di tanah suci Arafah! Inilah sewajibnya ukhuwah yang perlu dibina, dalam konteks yang lebih luas saat ini umat Islam di Syria, Iraq dan Palestin yang ditimpa kesusahan dan keperitan. Sebagai satu umat dan tuhan yang sama, kita sewajarnya mempunyai rasa sedih dengan apa yang menimpa mereka dan berusaha dalam apa jua cara untuk membantu mereka.

Janganlah kita hanya berdiam diri malahan tidak mempunyai rasa sedih, betapa lemahnya iman kita kepada Allah dan seluruh umat Islam yang lain. Moga kita bukanlah di kalangan mereka yang berperwatakan sedemikian. Nauzubillahminzalik!

Seterusnya, kami akan menunggu waktu Zuhur sekitar 12.10 tengahari. Senggang masa itu diisikan dengan solat dhuha, zikir dan bacaan Al-Quran. Malahan membuat sedikit catatan peribadi akan tazkirah TH yang disampaikan oleh ustaz yang bertugas jam 9.00 pagi. Betapa besar Haji kami ini kerana Hari Wukuf kami bersamaan dengan Haji. Wada' Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda yang berlaku pada hari Jumaat. Allahuakbar! Bersyukur atas kurniaan Allah s.w.t.


Masuk waktu Wukuf dan Khutbah Arafah

Gambar kenangan ketika berwukuf di Arafah. Pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan sepanjang hidup. Moga ibadah Haji ini diterima Allah swt.

Setelah masuk waktu Zuhur, hari wuquf dimulai dengan bacaan Khutbah Arafah oleh Ustaz Zawawi dari tabung Haji. Di antara isi-isi yang menarik untuk dikongsi adalah isi Khutbah Haji Wada' Rasulullah, Khutbah Arafah Nabi kepada umat Islam seluruhnya.

1. Amanah- peringatan untuk mereka yang mempunyai kekuasaan agar memenuhi amanah terutama buat para pemimpin yang memimpin umat Islam dan sehingga taraf kepimpinan di dalam keluarga. Ini isi pertama yang disampaikan oleh Nabi buat kita? Apakah signifikasinya buat kita semua? Memang sangat besar, lihatlah hari ini umat Islam terus dihina, dibantai, dan dipermainkan semahu-mahunya. Mengapa ini berlaku? Kerana umat Islam tidak dipimpin oleh oleh pemimpin yang menunaikan amanah yang diberikan.

2. Riba - Dalam sistem ekonomi kapitalis hari ini tanpa kepimpinan yang berlandaskan Islam, mampukah kita menerapkan sistem ekonomi Islam? Teras segala perbankan di Malaysia bahkan Bank Islam disandarkan pada Bank negara yang terikat dengan sistem ekonomi kapitalis yang terasnya adalah riba ( interest). Tidak akan maju dah berkembang ekonomi hari ini tanpa riba'. Nabi kita telah melihat apa yang berlaku di masa depan buat umat-umatnya di akhir zaman, dan peringatan itu disampai di akhir usia baginda sebelum wafat.

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

(Ayat Al-Baqarah 278)

Dalam banyak perkara, isi-isi ini diperingatkan lagi oleh baginda Rasulullah kepada kita. Adakah isi Khutbah Wada' sekadar dicetak di poster-poster dan di tampal di masjid dan surau tanpa kita mengambil sebarang peringatan. Moga inilah saatnya kita mengambil serius tentang isi-isi khutbah Nabi dan berusaha untuk merealisasikan.

Selepas khutbah, kami solat Zuhur dengan Asar ( Jamak takdim ) tanpa qasar. Ini memang dilakukan sepanjang kami di Arafah, yakni Maqrib dijamakkan dengan Isyak. Selepas solat Asar Jamak, Ust Zawawi membacakan doa Arafah yang betul-betul menyentuh jiwa dan ramai di kalangan jemaah haji yang menitiskan air mata keinsafan. Waktu yang mustajab di Arafah untuk berdoa buat para jemaah dari Zuhur hingga masuknya waktu Maqrib.

Nabi saw bersabda "Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang Wukuf di Arafah. dengan bangga Ia bertanya kepada para Malaikat, apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu"

Jadi Ustaz menasihatkan agar jemaah Haji Malaysia mengoptimumkan masa-masa yang ada itu untuk meminta dengan Allah s.w.t, sesungguhnya Allah itu maha Pengampun dan Maha Pemberi, insyallah buat hamba-Nya yang terus meminta dan merayu bakal dimakbulkan-Nya dan sesungguhnya tangisan air mata itu bakal memadamkan api neraka. Dan selepas waktu Asar disunatkan untuk berdoa di luar khemah jemaah Haji dengan mengadap ke langit, sesungguhnya malaikat-malaikat Allah itu berada di langit-langit Arafah.

Dalam riwayat yang lain Allah menyatakan ‘ Hai MalaikatKu ! Apa balasan (bagi) hambaKu ini, ia bertasbih kepadaKu, ia bertahlil kepadaKu, ia bertakbir kepadaKu, ia mengagungkanKu, ia mengenaliKu,, ia memujiKu, ia berselawat kepada NabuKu. Wahai para MalaikatKu ! Saksikanlah bahawasanya Aku telah mengampuninya. Aku memberi syafat kepadanya. Jika hambaKu memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.” (Imam Ghazali)


Coretan-coretan kisah di Arafah

Sepanjang berada di Arafah, sempat juga memerhatikan jemaah-jemaah lain dari negara yang berlainan. Pelbagai ragam dan perwatakan, contohnya ada yang berkhemah di lereng-lereng bukit di Arafah dan di jalanan.

Malahan tandas khemah jemaah Haji Malaysia juga digunapakai oleh jemaah haji yang tidak mempunyai khemah khas untuk mereka. Sheikh Muasasah khemah juga tidak menghalang mereka untuk masuk dan menggunakan tandas, kerana mereka juga tetamu Allah, moga kita membantu mereka, Allah akan memudahkan urusan kami. Pun demikian lebihan nasi atau pek makanan jemaah haji Malaysia juga diedarkan kepada mereka.

Ada jemaah dari negara-negara lain ini membawa anak-anak sekecil bayi dan masih menyusu bermalam di Arafah. Betapa besar pengorbanan mereka, malahan pergerakan mereka dari Arafah ke Muzdalifah hanya dengan berjalan kaki. Kebanyakan yang saya lihat adalah jemaah dari Pakistan, Bangladesh dan India yang tiada tanpa pakej atau tanpa muasasah.

Pada jam 5.00 petang, kami dinasihatkan untuk bersedia kerana pergerakan ke Muzdalifah dijangka sebelum waktu Maqrib 6.10 petang. Namun ketentuan Allah, kami hanya bertolak dari Arafah sekitar 8.30 malam ke atas. Trafik di luar khemah kami agak teruk malahan di awal sebelum Maqrib, kesesakan jalan raya dengan puluhan bas-bas.

Bas kami no.36 dan akhirnya giliran kami tiba dan beroleh bas yang baik serta mempunyai hawa dingin yang baik. Sampai sahaja di Muzdalifah bermula fasa lain dalam ibadah Haji kami.
Sampai di sini dulu edisi saya berwukuf di Arafah moga ia menjadi iktibar dan petunjuk buat yang bakal menunaikan haji atau umrah , serta menjadi peringatan berharga buat kita semua.

Perkongsian saya ini semata-mata kerana Allah sebagai petunjuk agar yang bakal pergi akan melalukan berkata yang lebih baik serta tidak melakukan kesilapan sebagai saya. Jauh sekali untuk membangga diri kerana saya juga insan biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Andai ada kesilapan dalam penulisan saya, saya amat alu-alukan untuk sebarang komen dan nasihat. Yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dari kesilapan saya sebagai manusia biasa.

Sekian dulu warkah dari Pejalan Haji Part 11...nantikan entri berikutnya tentang kisah Mabit Di Muzdalifah....

Sekian,

www.iskandar581.blogspot.com


9 Dzulhijjah 1435H bersamaan 3 October 2014

Post a Comment

Previous Post Next Post