Assalamualaikum,

Bersambung tentang kisah kami di Mina. Untuk tatapan-tatapan teman-teman di Malaysia. Sepanjang berada di Mina, antara cabaran-cabaran yang perlu di lalui adalah seperti berikut ;

1. Tandas yang terhad dan perlu beratur panjang untuk masa-masa puncak
2. Tempat tidur yang terhad, berselisih kaki dan kepala menjadi cabaran di khemah-khemah di Mina.
3. Setiap hari kami perlu berjalan 6 km pergi dan balik untuk melontar jamrah. 
4. Suhu yang panas di dalam khemah di siang hari biarpun terdapat blower.

Perkara yang dinyatakan di atas adalah merupakan serba sedikit pengalaman terindah sepanjang menunaikan haji akbar 1435H. Biarpun tidak mendapat keselesaan sepanjang ibadah ini, sesungguhnya kesukaran dan kesusahan itu yang menjadikan pengalaman ini begitu berharga. Kini apa yang dilalui oleh jemaah haji Malaysia jauh berbeza dengan pengalaman yang di alami oleh jemaah terdahulu atuk dan nenek kita.

Kami bergambar dahulu sebelum bergerak untuk melontar pada hari Tasyrik yang pertama 11 Dzulhijjah, dari kiri Bro Mior and Pak Cik Ibrahim.


Kemudahan di Arafah Dinaiktarafkan

Mana tidaknya dahulu kemudahan khemah di Mina tidaklah se-gah sekarang dan kemudahan serta laluan melontar juga tidaklah teratur seperti hari ini. Dahulu apabila aktiviti melontar, pelbagai andaian yang telah kita telah letakkan. Malahan dalam beberapa peristiwa-peristiwa terdahulu ada yang mati ketika melontar akibat di himpit atau di pijak. Namun dengan kemudahan melontar 3 tingkat dan pembahagian mengikut "region" jemaah telah memudahkan urusan melontar.

Bagi jemaah Asia, pihak Arab Saudi telah meletakkan kami untuk melontar di aras 3 bangunan jamrah. Maka dari tempat penginapan kami (Asia) akan melalui 2 terowong sebelum sampai ke bangunan jamrah. Sepanjang perjalanan akan bertemu dengan jemaah-jemaah dari Indonesia, China, Brunei, Thailand dan ramai lagi. Kalau diukur dari segi saiz badan, kami adalah hampir sama semuanya untuk orang Asia, jadi untuk keselamatan juga amatlah terjamin. Berbanding dahulu terpaksa berebut-rebut dengan golongan pak Arab yang mempunyai badan yang lebih besar dan tinggi.

Permulaan Melontar di Hari Tasyrik

Untuk hari Tasyrik yang pertama kami perlu keluar dari perkhemahan kami jam 6.05 pagi. Dimaklumkan oleh pusat perkhidmatan Maktab 89, kami akan sama-sama bergerak selepas solat subuh jam 6.05 pagi. Pergerakan ke jamrah mengambil masa sekitar 40-50 minit bergantung pada kelajuan jalan kaki dan jumlah jemaah yang ada.

Aktiviti melontar pula mengambil masa sekitar 15 minit sahaja untuk ketiga-tiga jamrah (Sugra, wusta dan kubra). Alhamdulillah untuk hari pertama ini kami dipermudahkan untuk melontar, biarpun jumlah jemaah yang keluar pagi itu agak ramai namun masih dapat melontar tanpa perlu berebut-rebut atau berlaku sebarang tolak menolak.

Kisah Khemah Di Lereng-lereng Bukit Mina

Sepanjang jalan pulang selepas melontar jamrah yang terakhir kami akan melalui jalan yang sama cuma terowong bersebelahan atau sehala untuk pergi dan sehala untuk pulang. Malahan saya juga melihat persekitaran dan teruja dengan ada jemaah-jemaah yang saya berpendapat dari Pakistan/Bangladesh atau timur tengah yang lain, berkhemah di lereng-lereng bukit. Lereng yang bukan jalan kecerunannya tapi mereka mampu tinggal di situ. Dengan keadaan siang yang cuacanya boleh mencecah 49 darjah Celsius , memang agak respect dengan mereka ini.

Demi untuk menunaikan ibadah haji ini, pengorbanan yang sangat besar mereka lakukan. Tanpa kemudahan yang selesa dari segi tempat tinggal tidak menjadi permasalahan untuk mereka. Malahan ada di kalangan mereka yang membawa anak-anak  kecil bersama bagi menunaikan ibadah haji ini.

Jadi di sepanjang lereng bukit di Mina, kita akan dapat perhatikan pelbagai khemah didirikan dari serendah ke setinggi-tinggi lereng bukit, bila difikirkan bagaimana mereka mampu naik ke atas ? Bagaimana sekiranya nak buang air besar atau air kecil ? Mampu pelbagai andaian dan tekaan yang bakal kita lafazkan.

Ini hebatnya orang Islam, kemampuan kita sebenarnya amat luar biasa, malahan apa yang berlaku contohnya di Palestin, kita tak mampu bayangkan kekuatan mental dan fizikal mereka menghadapi penindasan yang dilakukan oleh Israel setelah berpuluh-puluh tahun malahan boleh dikatakan semenjak dari zaman atuk dan nenek mereka lagi.

Mereka masih mampu bertahan malahan tersenyum dengan kehadiran tetamu biarpun mereka dilanda masalah, Allahuakbar!! Bila mengenangkan masalah ini betapa lemahnya kami berbanding mereka atau umat-umat Islam lain. Kita di Malaysia diasuh dengan kesenangan dan kemudahan, tidak pernah menghadapi kesusahan selepas diberi  kemerdekaan Malaysia tahun 57, kesusahan yang sedikit pun kita sudah merungut.

Kami meneruskan perjalanan pulang dan jaraknya seperti pergi, jarak perjalanan hampir sama sekitar 40-50 minit untuk melalui 2 terowong dan seterusnya sampai di kawasan penginapan kami di Mina yakni Maktab 89. Perjalanan pulang lebih santai kerana tiada apa yang ingin di capai berbanding perjalanan pergi. Alhamdulillah begitulah serba sedikit perjalanan melontar hari tasyrik pertama buat saya. Moga ibadah lontaran itu diterima oleh Allah s.w.t, tiada apa yang ingin saya capai melainkan redha dari-Nya.

Sampai disini dulu kisah Perjalanan Haji Part 14. Insyallah akan disambung untuk Hari Tasyrik yang ke-2 dan ke-3 di siri Perjalanan Haji Part 14. Moga apa yang di coretkan di sini menjadi rujukan dan iktibar buat semua.

Amin ya rabbal alamin.

Sekian,
www.iskandar581.blogspot.com





Warkah dari Makkah Al-Mukaramah

11 Dzulhijjah 1435H bersamaan 5 October 2014

Post a Comment

Previous Post Next Post