Assalamualaikum,

Kini, saya ingin menyambung entri kisah perjalanan Haji saya buat tatapan semua pembaca sekalian, moga apa yang disampaikan menjadikan rujukan dan panduan buat kalian semua. Bahkan itu, bagi yang tidak baik itu dijadikan teladan buat kalian semua agar tidak dilakukan nanti semasa menunaikan ibadah Haji. Sedar tak sedar, kini penulisan saya sudah pun masuk Part 12 perjalanan haji saya untuk tahun 2014 bersamaan 1435H. Moga entri-entri ini menjadi rujukan buat kalian yang bakal menunaikan ibadah Haji pada tahun hadapan 2015 dan tahun-tahun berikutnya.

Keadaan di Muzdalifah yang penuh sesak dengan jemaah Haji Malaysia. Masing duduk sambil beribadah dan berehat sementara menanti tengah malam.

Pelaksanaan Ibadah Haji Secara Tamatu'

Apabila membicarakan soal haji dan cara pelaksanaannya, boleh sahaja dilakukan dalam 3 pilihan. Namun yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia adalah Haji Tamatu' yakni umrah dahulu baru pelaksanaan ibadah Haji. Bagi ibadah haji saya , pelaksanaan ibadah Haji saya adalah secara tamatu'. Ada seorang pak cik di sebelah bilik kami telah berniat Haji Ifrad, maka beliau perlu berihram dan menjaga larangan selama hampir 22 hari dari hari ketibaan kami di bumi Makkah 12 September 2014. Secara peribada memang sangat salute dengan pak cik itu, katanya " Haji pertama saya telah dilakukan secara tamatu' dan bernazar andai saya dapat sekali lagi berniat untuk melakukan secara ifrad ", masyallah.

Setelah kami bertolak dari Padang Arafah pada 9 Dzulhijjah. Kami tiba di Muzdalifah sekitar jam 9 malam, dan perlu tunggu disitu sehingga tengah malam ( dikira masa itu tengah malam adalah 11.45 malam). Bermabit di Muzdalifah di kira apabila mencecah tengah malam (11.45 malam ) biarpun sesaat. Namun bagi kami yang datang awal perlu bermabit lebih kurang 2 jam lebih di Muzdalifah. Masa senggang yang ada di situ dipergunakan untuk mencari batu bagi aktiviti melontar jamrah Kubra dan melontar jamrah pada hari tasyrik (11,12, and 13).

Kami pun menggunakan masa tersebut untuk mencari batu, memang tiada masalah kerana di situ memang sangat banyak batu malahan boleh dicari lebih dari 70 biji. Setiap sekali lontaran adalah 7 biji dan jumlah lontaran adalah 10 kali maka, 7 x 10 adalah 70 biji batu yang diperlukan.

Kelihatan para jemaah kepenatan setelah berjam-jam menanti bas di Arafah dan kini berada di Muzdalifah untuk mencari batu dan menanti lagi giliran bas untuk ke Mina. Malahan kami bergerak ke Mina dari Muzdalifah sekitar hampir jam 2.00 pagi, memandangkan bas kami bernombor 36, perlu menanti dari no. 1. Katakan setiap nombor mengambil masa 5 minit maka untuk 30 bas sudah mencecah 150 minit atau 2 jam 30 min.


Kesabaran Dalam Ibadah Haji

Abu Jahja (Shuhaib) bin Sinan Arrumy r.a berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Sangat mengagumkan keadaan seorang mu’min, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mu’min : jika mendapat ni’mat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya, dan bila menderita kesusahan (ia) sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya.

(H.R. MUSLIM)

Begitulah cabaran ibadah Haji yang perlu ditempuhi oleh semua jemaah dari Malaysia setiap tahun, samada cabaran menunggu bas dan kedua cabaran untuk ke tandas atau bilik air di waktu-waktu puncak. Namun apa yang dapat diperhatikan tandas di Arafah dan juga di Muzdalifah telah dinaiktarafkan jadi masa penantian tidaklah terlalu lama berbanding dahulu pada saya. Malahan di Arafah contohnya telah ada tandas bertingkat untuk kegunaan semua jemaah, bilangan bilik air banyak serta kemudahan yang lebih baik. Begitulah beberapa aspek kesabaran yang perlu ditanam dalam diri buat setiap jemaah. Cerita-cerita yang saya dengar sebelum terbang ke tanah haram seolah-olah perlu beratur terlalu panjang hendak ke tandas tidaklah tepat sangat.

Tidak dinafikan ada juga jemaah yang kurang bersabar dan bertindak memotong barisan bagi kepentingan diri, namun didoakan agar beliau diberi kesabaran yang tinggi oleh Allah s.w.t dan senantiasa menahan kemarahan kerana sifat-sifat inilah hasutan syaitan. Moga Allah membantu kita.
Secara keseluruhan di Muzdalifah kami tidak berbuat apa-apa sangat hanya duduk dan memperbanyakkan zikir, bacaan Al-Quran dan berdoa kepada Allah. Bagi yang belum solat, mereka boleh solat Jamak Ta'khir yakni Isyak dan Maqrib ( tanpa qasar ). Memandangkan kami bergerak selepas waktu Maqrib. Kami telah melakukan Jamak Ta'kdim di Padang Arafah. Selain itu, Muzdalifah tergolong dalam Tanah Haram, maka para jemaah bolehlah sekiranya mahu untuk melakukan solat-solat sunat seperti Hajat, Taubat dan Tasbih di situ.

Bagi para jemaah Maktab 89 kebanyakan mengambil kesempatan untuk rehat sahaja sementara menanti bas. Ruang yang terhad dan kawasan yang berpasir di Muzdalifah agak kurang selesa untuk tidur dengan baik namun cukup untuk menghilangkan kami seharian berwukuf di Arafah dan kini bermabit di Muzdalifah .Seperti biasa, setiap zon Muzdalifah itu dibahagikan mengikut negara jemaah dan maktab jemaah . Kawasan Muzdalifah bagi setiap maktab adalah berpagar, namun seperti biasa ada sahaja jemaah-jemaah haji dari negara lain yang tidak ada Maktab khusus, jadi mereka bermabit juga di kawasan Muzdalifah jemaah Malaysia. Tapi jumlah mereka tidaklah terlalu ramai malahan tidak timbul sebarang masalah besar bagi kami juga.


Bergerak ke Khemah di Mina

Setelah menanti bas hampir 2 jam lebih , akhirnya bas kami sampai sekitar jam 1.30 pagi dan bersedia untuk bergerak ke destinasi kami seterusnya ke Mina. Di Mina tempat tinggal kami adalah Blok D6 ( diletakkan dengan logo pensel). Perjalanan ke Mina tidaklah jauh dari Muzdalifah, hanya beberapa kilometer sahaja dari Muzdalifah, namun yang memanjangkan tempoh perjalanan disebabkan oleh kesesakan jalan raya akibat puluhan bas juga pejalan kaki yang menggunakan jalan raya ( menutup jalan bagi bas) . Kami sampai di Mina hampir jam 2.00 pagi. Maka saya bertiga bersama-sama bro Zul and bro Mior terus menuju ke khemah kami. ( perincian aktiviti dan keadaan di Mina akan dikongsikan dalam Pejalan Haji Part 13) .

Sampai disini sahaja coretan saya sepanjang kami bermabit di Muzdalifah. Akan dikongsi dengan teman-teman aktiviti seterusnya semasa kami berada di Mina dan melontar jamrah ( Sugra, wusta dan kubra) . Nantikan penulisan yang berikut dalam Pejalan Haji Part 13. Sampai ketemu lagi ya, yang baik itu datang dari Allah s.w.t dan yang tidak baik itu dari kelemahan saya sendiri sebagai seorang manusia.

Warkah dari Makkah Al-Mukaramah.

Sekian,

www.iskandar581.blogspot.com


10 Dzulhijjah 2014 bersamaan 4 October 2014

Post a Comment

Previous Post Next Post