Assalamualaikum,

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kami telah diberikan kemudahan dan jalan yang mudah untuk menunaikan rukun-rukun Haji. Dari perjalanan kami hotel ke Arafah dan kini kami telah pun sampai di Kem kami di Mina. Terima Kasih Allah s.w.t. Tiada ucapan lain melainkan lafaz kesyukuran kepada pencipta yang maha Pemurah dan maha Penyayang. Biarpun ada serba sedikit cabaran buat kami, namun pada saya di situlah tempat untuk kita terus memuhasabahkan diri.

Di Arafah tiada lagi perbezaan pangkat, jawatan, bangsa mahupun warna kulit. Kita semua adalah sama di sisi Allah dengan pakaian serba putih. Buat saya juga, sepanjang aktiviti haji ini Alhamdulillah saya dikurniakan kesihatan yang baik biarpun cuma ada selesema dan batuk-batuk sedikit. Memang lumrah untuk jemaah dari Malaysia akan mengalami batuk-batuk dan selesema. Berbanding jemaah dari Indonesia mahupun China, mereka kelihatan lebih imun dengan keadaan sekitar yang berhabuk.

Gambar kenangan bersama teman sebilik di Khemah di Mina. Bergambar sebelum kami bergerak ke Jamrah untuk melontar Jamrah Kubra. Yang akan membebaskan kami dari 10 daripada 13 larangan ihram.


Bagi rakyat Malaysia saya berpandangan kita memang tidak biasa dengan iklim yang sedemikian dan seterusnya mudah untuk dijangkiti penyakit.

Buat pengetahuan semua di Mina khemah-khemah dibahagikan di dalamnya mengikut petak-petak. Dan apa yang disusun setiap petak perlu memuatkan 14 orang. Satu petak ukurannya adalah 3m x 3m. Bayangkan bagi ingin memuatkan 14 orang dalam satu kotak. Maka kami menyusun rapat-rapat tikar alas tidur kami di antara satu dengan yang lain.

Satu khemah dibahagi 2 bahagian dan untuk satu bahagian akan menempatkan 10 kotak. Maka untuk satu bahagian khemah jumlah jemaah haji adalah 10 x 14= 140 orang. Bayangkan betapa sesaknya keadaan dalam satu bahagian khemah. Untuk satu khemah pula bolen menempatkan 140 x 2=280 orang.

Ini serba sedikit perkiraan untuk jumlah jemaah haji dalam sesebuah khemah. Terdapat khemah lelaki dan perempuan. Setiap jalan/lorong dilabelkan dengan logo-logo tertentu malahan ada label tapak kaki membawa kita ke logo-logo tertentu. Contohnya bagi kami logo pensel, maka akan ada label di jalanan gambar pensel dan seterusnya menuju ke khemah kami.

Petunjuk-petunjuk ini khas buat golongan yang sedikit berumur yang mudah untuk lupa lorong dan khemah mereka. Maka dengan adanya panduan label seperti pensel, fail, gunting dan sebagainya memudahkan mereka menjejaki kem masing-masing. Namun biarpun tabung Haji telah melabelkan bahagian tertentu bagi penunjuk arah, masih sahaja ada yang sesat dan gagal mencari khemah mereka, cuma nombor atau bilangan sedikit berkurangan berbanding tanpa sebarang penunjuk arah.

Bagi kami yang sampai di Mina jam 2.00 pagi, kami dijangka akan melontar jamrah Kubra pada jam 4.30 petang 10 Dzulhijjah . Lontaran ini diikuti dengan bergunting/bercukur bagi membolehkan kami membuat tahalul awal. Syarat tahalul awal dengan melakukan 2 daripada 3 perkara yakni ( tawaf, melontar jamrah Kubra, atau tawaf Haji).

Terowong yang perlu ditempuh oleh setiap jemaah menuju ke Jamrah. Dua terowong sekitar 1 km setiap satu perlu ditempuh oleh para jemaah selama 4 hari  termasuk hari tasyrik.

Jadi dengan melakukan 2 perkara yakni melontar jamrah Kubra dan bergunting, kami telah bebas dari pakaian ihram dan boleh berpakaian biasa. 10 daripada 13 larangan ihram boleh dibuat. 3 perkara yang masih dilarang adalah yang berkaitan hubungan lelaki dan perempuan ( nikah, terlibat dalam urusan nikah dan bersetubuh).

Kami bergerak ke jamrah sekitar jam 4.30 petang dan sampai di sana jam 5.30 petang, menuju ke jamrah Kubra. Lontaran dengan 7 biji batu, bagi asia tenggara, kita akan melontar di aras 3. Dan susunan jamrah adalah sugra, wusta dan kubra. Selesai melontar kami berdoa dan seterusnya bercukur sedikit di sekitar kawasan jamrah dan merancang untuk menyambung cukur di sekitar khemah. Lantas, kami terus bergerak pulang melalui 2 terowong dan sampai di kawasan khemah telah masuk waktu Maqrib. 

Dalam menuju pulang ke khemah kami singgah di jalanan untuk dicukur oleh tukang-tukang cukur jalanan. Memandangkan kami yang tidak mempunyai alatan untuk bercukur maka kami membayar SR10 seorang untuk dicukur oleh mereka. Dapat dilihat ramai juga jemaah Malaysia yang lain bercukur di situ. 

Malahan Islam menganjurkan agar setiap lelaki bercukur berbanding bergunting agar mendapat pahala sunat. Begitu serba ringkas perjalanan aktiviti kami untuk hari 10 Zulhijjah di Mina, melepaskan diri dari pakaian ihram dan 10 perkara yang dilarang. 

Berikutnya akan di sambung aktiviti kami untuk hari-hari yang berikutnya sepanjang di Mina dari 11-13 Dzulhijjah. Beberapa-beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan dan juga petunjuk bagi anda.

Jemaah Malaysia Maktab 89 akan berada di Mina ini dari hari 10 Dzulhijjah hingga ke 13 Dzulhijjah 1435H. Kami perlu melakukan lontaran pada hari-hari tasyrik untuk kesemua Jamrah Sugra, wusta dan kubra dengan 7 biji anak batu setiap jamrah. Sesungguhnya aktiviti melontar ini memerlukan kekuatan kaki dan stamina kerana kami perlu berjalan sekitar 6 km pergi dan balik daripada khemah kami di Mina menuju ke bangunan Jamrah. Jadi saranan saya untuk bagi yang belum mendaftar untuk melaksanakan tuntutan rukun Islam yang ke-5 ini, maka segeralah berdaftar kerana jika di usia 50 tahun ke atas ingin melaksanakan haji, kita akan cepat lelah dan tiada stamina. Moga pelaksanaan haji di usia muda memudahkan kita melaksanakan semua menasik haji.

Sekian,
www.iskandar581.blogspot.com


Warkah dari Makkah Al-Mukaramah

10 Dzulhijjah 1435H bersamaan 4 October 2014.

Post a Comment

Previous Post Next Post