Assalamualaikum,

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan-Nya masih memberi saya kemampuan dari segi kesihatan untuk mencoret Pejalan Haji Part 15 sambungan kisah kami sepanjang berada di Mina dan aktiviti melontar jamrah hari tasyrik ke-2 dan ke-3.

Bagi membicarakan ibadah melontar, jemaah haji boleh sahaja melontar untuk 2 hari tasyrik dan tidak melontar pada hari ke-3 tasyrik, dengan beberapa syarat tertentu seperti beliau hari keluar dari Mina sebelum Maqrib 12 Dzulhijjah dan berniat tidak akan kembali ke Mina. Yakni setelah selesai melontar jamrah pada 12 Dzulhijjah, beliau boleh terus kembali ke Makkah untuk menunaikan rukun haji yang lain yakni Tawaf dan Saie (bagi haji Tamatu' sekiranya tahalul awal beliau adalah melontar jamrah Kubra dan bergunting/cukur) .

Ini merupakan bangunan melontar Jamrah. Kalau mengikut susunan kubah No.2 ( Sugra), No.3 (Wusta) dan No. 4 (Kubra). Aras 3 yang paling atas adalah untuk jemaah-jemaah Asia.


Ibadah hajinya sah dan tidak dikenakan dam. Buat kami jemaah Malaysia majoriti melakukan lontaran sehingga hari ke-3 atau 13 Dzulhijjah 1435H. Manakala ada beberapa KT dari Maktab perkhemahan kami yang melakukan nafar awal disebabkan jadual penerbangan mereka yang hampir dan perlu segera kembali ke Makkah.


Waktu Melontar Hari tasyrik 12 Dzulhijjah

Untuk hari ini, jadual melontar kami adalah lebih awal yakni jam 5.30 pagi dari perkhemahan kami di Mina. Subuh sekitar 5.05 pagi, maka setelah selesai subuh segera bersiap untuk pergi melontar. Pada hemat saya melontar di sebelah pagi adalah lebih baik kereta cuaca masih sedikit sejuk dan juga jumlah jemaah yang ingin melontar juga tidak terlalu ramai. Namun perlu diambil perhatian bahawa setiap Maktab akan menentukan jadual bagi setiap KT, maka pematuhan itu bagi mengelakkan sebarang kesesakan semasa bergerak ke jamrah mahupun ketika melontar.

Pada hari kedua ini juga, ada beberapa KT yang dijadualkan melontar sebelah petang namun terpaksa ditunda beberapa kali kerana dimaklumkan oleh pihak muasasah Asia Tenggara bahawa berlaku kesesakan di terowong dan ditempatkan melontar. Selain itu dapat diperhatikan pengawal Arab Saudi begitu ramai di setiap terowong bagi memastikan kesesakan terkawal dan menentukan jumlah jemaah yang dibenarkan dalam satu-satu masa.

Berbalik kepada perjalanan lontaran jamrah untuk hari ke-2, hari perjalanan lebih lantas berbanding hari sebelumnya. Bahkan dengan memakai kasut lebih memudahkan perjalanan, dan mengambil masa kurang 40 minit sampai di tempat jamrah. Bergerak melontar dari satu jamrah ke jamrah yang lain dan terus bergerak pulang.

Suasana di dalam terowong menuju ke tempat melontar. Perjalanan mengambil masa sekitar 40-50 minit bergantung kepada kelajuan berjalan. Kesesakan namun masih boleh berjalan.


Kisah Anak-Anak Peminta Sedekah

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Untuk hari kedua ini, kisah yang ingin dikongsi adalah berkenaan peminta sedekah selepas dari melontar jamrah terakhir sebelum terowong pertama menuju pulang. Begitu ramai peminta sedekah dari pelbagai gaya dan kesusahan. Memang sangat sedih dan pilu melihat kanak-kanal yang masih kecil dibawa oleh ibu mereka se-awal pagi. Bila membayangkan anak-anak saya di Malaysia, betapa pilu melihat kanak-kanak tersebut terpaksa tidur di kaki lima dan seawal pagi mengikut ibu meminta sedekah.

Malahan anak juga bayi yang merah lagi seperti baru dilahirkan juga dibawa oleh ibunya bersama kita meminta sedekah dari jemaah haji. Ada di kalangan jemaah juga yang memberi roti mahupun buah-buahan bagi yang tidak mampu memberi wang, berebut anak-anak tersebut, Allahuakbar!  Di manakah pemimpin - pemimpin umat Islam yang dikatakan menjaga umat Islam?! Kekayaan jelas terdapat di negara-negara umat Islam namun masih sahaja ada rakyatnya yang fakir dan hidup melarat. Tapi apakah makanan si pemimpin? Dimanakah  tempat tinggal si pemimpin?  Apakah pakaian si pemimpin?!

Ternyata biarpun Arab kaya dengan minyak namun masih sahaja rakyatnya miskin dan fakir. Inilah akibatnya Islam tidak dilaksanakan secara kaffah dan dasar pemerintahan bukan berlandaskan Islam yakni Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada cara yang terbaik untuk menangani permasalahan kemiskinan di kalangan umat Islam melainkan kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah yakni mengatur segala pengurusan negara berlandaskan Islam dan bukannya sistem KUFUR.

Inilah yang digambarkan oleh firman Allah dalam Surah al-Nisā’ : 60 yang bermaksud: 

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya Telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka Telah diperintah mengingkari taghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”.
 
Begitulah suasana yang bakal saya tempuhi setiap hari memerhatikan gelagat peminta sedekah dan pemberi sedekah. Betapa fakirnya mereka hingga tidur di tempat-tempat yang kita tidak mampu bayangkan contohnya berhampiran tempat sampah. Dengan bau yang tidak menyenangkan tapi dek kerana kesusahan mereka itu semua tidak menjadi permasalahan. Moga Allah membantu kita agar cepat kembalinya negara yang mengatur dengan hukum-Nya, moga dengan semua umat Nabi Muhammad ini akan terjaga dan terbela dan bukannya merempat.


Perjalanan Pulang ke Khemah dan Nafar Awal

Alhamdulillah hari perjalanan agak lancar, sekitar 7.30 pagi saya sudah sampai kawasan khemah kami di Mina. Menuju ke penginapan saya mengambil kesempatan berpusing-pusing di jualan-jualan yang terdapat di sekitar, daripada yang menjual jubah, ada menjual batu-batu cincin, minyak wangi, tasbih, barang-barang hiasan dan pelbagai lagi.

Memang ibadat haji ini membawa rezeki besar kepada mereka yang berniaga, mana tidaknya yang datang ke Arab Saudi ketika musim haji mencecah puluhan juta dari pelbagai negara. Pastinya yang susah dah merasakan mungkin ini dan terakhir datang ke Tanah Suci akan memanfaatkan sesungguhnya untuk membeli buah tangan yang akan menjadi kenang-kenangan.

Selesai berpusing-pusing saya terus kembali ke khemah untuk sarapan dan beristirahat. Bagi jemaah yang melakukan nafar awal, mereka bersarapan dan terus bersiap-siap untuk kembali ke Makkah. Untuk maktab 89, terdapat 2 KT yang melakukan nafar awal kerana penerbangan balik mereka yang tidak lama lagi. Maka mereka perlu segera kembali ke Makkah untuk menyempurnakan Saie dan Tawaf sebelum diisytiharkan sebagai Tahalul Thani ( terlepas kesemua 13 larangan Haji ) .

Bagi KT lain yang masih jauh waktu penerbangan balik, mereka perlu terus bermalam di Mina untuk melontar pada hari tasyrik yang ke-3 ( 13 Dzulhijjah 1435H) .

Sampai di sini dulu penulisan saya untuk Edisi ke-3. Moga yang baik itu menjadi pedoman buat kita bersama. Yang baik itu datang dari Allah s.w.t dan yang buruk itu dari kelemahan saya sebagai seorang manusia.

Tip-tip di Mina :
  1. Seelok-eloknya melakukan lontaran pada sebelah pagi kerana cuaca sedikit sejuk dan tidak terlalu ramai orang.
  2. Jangan tergopoh-gopoh ketika melontar kerana perlu pastikan batu masuk ke dalam kawah.
  3. Perjalanan pergi dan balik sekitar 6 km, maka sebelum datang ke tanah haram seelok-eloknya membuat latihan seperti joging.
  4. Seelok-eloknya 70 biji batu dikutip kesemuanya di Muzdalifah. Kutiplah lebih kerana di Mina susah mencari kawasan lapang berbatu.
  5. Membawa pisau cukur sendiri dari Malaysia jenis yang lama menggunakan blade, mudah untuk bercukur berbanding pisau cukur moden (shaving kit).
  6. Untuk melontar di setiap jamrah, seeloknya pergi ke bahagian yang paling hujung jamrah kerana jemaah tertumpu di bahagian depan sahaja. Maka kita akan dapat hampir dengan tempat lontaran dan mudah untuk yakin batu masuk ke dalam jamrah.
  7. Jangan disibukkan dengan shopping namun ambillah kesempatan di Mina untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Moga lebih afdal kita beriltizam untuk khatam Al-Quran sepanjang 4 hari di Mina (10, 11,12,13 Dzulhijjah).
Pejalan Haji Part 14- Kisah bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 2

Warkah dari Makkah Al-Mukaramah

Sekian,

www.iskandar581.blogspot.com


Warkah dari Makkah Al-Mukaramah 

12 Dzulhijjah 1435H bersamaan 6 October 2014

Post a Comment

Previous Post Next Post