Assalamualaikum,

Setelah berada di tanah mulia ini selama hampir 40 hari, kini tiba masanya kami bergerak ke Madinah. Sungguh sayu kerana sudah berada di Makkah Al-Mukaramah ini dalam tempoh yang lama, sepanjang ini jugalah kami melakukan umrah dan haji. Pergerakan haji dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina meninggalkan kesan yang mendalam buat kami semua jemaah Haji KT-37. Sepanjang di Makkah juga beberapa kali saya jatuh sakit seperti demam, batuk dan selsema dan akhirnya tidak dapat menunaikan ibadah solat di Masjid Haram. Menunaikan solat di Tanah Haram Makkah di beri ganjaran 100, 000 lebih afdal, masyallah!

Dari Jabir Radhiallahu Anhu ; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain."

Gambar kenangan di dalam khemah kami di Padang Arafah. Biarpun hanya beralaskan karpet, namun ia sudah cukup untuk memberikan pengalaman yang berharga sebagai tetamu Allah s.w.t.



Alangkah bertuahnya diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk saya berada di bumi yang penuh keberkatan ini. Biarpun Nabi Muhammad s.a.w wafat di Madinah Al-Munawarah namun beliau tetap saja pergi ke Makkah untuk menunaikan Haji. Malahan setelah Islam mula mendapat tempat di Madinah melalui hijrahnya Rasulullah ke Madinah yang seterusnya dijadikan permulaan kalendar  Islam 1 Muharram, Rasulullah kembali ke Makkah dan akhirnya dapat membuka Makkah dengan aturan Islam. (Fathu Makkah pada tahun ke-8 Hijrah)

Ini perjuangan dan kepayahan Nabi s.a.w dalam menyebarkan Islam, setelah beberapa peperangan yang baginda hadapi menentang kaum kafir Quraisy seperti perang Badar dan perang Uhud. Inilah kemuncak penyebaran Islam dalam setelah terbentuk sebuah negara yang akan menggunakan kekuatan tentera jika ditentang dalam menyebarkan Islam. Peperangan Badar dan Uhud, banyak sekali pengajaran dan petunjuk dari Allah s.w.t buat kita. Moga kita kerap membaca sirah tentangnya.


Thawaf Wada dan Pelaksanaannya

Tawaf wada' ialah: sebagai tawaf pamitan, (tawaf selamat tinggal ) tawaf yang dikerjakan ketika akan meninggalkan kota Mekah, sedangkan hukumnya wajib, jika tidak mengerjakan maka harus membayar Dam.

Kami akan bertolak ke Madinah pada 21 October 2014 dari Hotel Land Premium jam 8.30 pagi. Maka setiap jemaah di minta untuk melakukan tawaf wada selepas solat subuh sekitar jam 5.30 pagi. Selepas tawaf wada kami diminta untuk terus pulang ke hotel Land Premium dan bersiap-siap untuk bertolak ke Madinah;

Antara perlu dielakkan agar Tawaf Wada tidak terbatal adalah seperti berikut;

1. Selepas tawaf melakukan solat sunat lain selain solat sunat Tawaf i.e. solat Dhuha
2. Memberi sedekah kepada fakir miskin atau pencuci di masjidil haram
3. Shopping barang-barang cenderahati 
4. Bergambar di sekitar masjidil haram atau ketika berjalan pulang ke hotel. 
5. Bersantai-santai di bilik hotel seperti tidur, baring-baring atau lepak. Selepas siap mandi hendaklah menunggu terus di lobi hotel.


Antara Perkara Yang Boleh dilakukan selepas Tawaf Wada;

1. Membeli barang makanan sekadar keperluan untuk bermusafir seperti roti, nasi dan sebagainya. 
2. Mandi dan bersiap di bilik hotel selepas pulang dari tawaf.
3. Makan atau minum sekadar keperluan untuk perjalanan ke Madinah.


Di ambil ketika di Mina selepas melakukan lontaran kubra, dan kami boleh bertahalul awal. Maka kami bebas dari 10 dari 13 larangan ihram.

Alhamdulillah penantian kami tidaklah terlalu lama, tepat jam 8.30 pagi kami dibenarkan untuk menaiki bas kami, setiap jemaah telah diberikan bas nombor maka setiap dari jemaah perlu mengikut no yang telah diberikan. Namun kami perlu menunggu di dalam bas hampir 2 jam sebelum bas bergerak sekitar jam 10.30 pagi. Begitulah peraturan dan prosedurnya yang perlu dipatuhi oleh Malaysia. Arab mempunyai peraturan yang ketat dalam soal ini, dalam tempoh 2 jam itu, pemeriksaan passport dijalankan dan jumlah penumpang di dalam bas dikira bagi memastikan jumlah passport adalah sama dengan jumlah penumpang.

Perjalanan akan mengambil masa sekitar 5 jam berbanding dahulu 8 jam perjalanan dari kota Makkah ke kota Madinah. Bagi tahun ini, Tabung Haji telah mengadakan perjanjian dengan syarikat bas yang baru dan mempunyai bas yang lebih baru berbanding dahulu. Alhamdulillah kerana Allah telah memudahkan urusan kami dan tidak perlu duduk di dalam bas terlalu lama. Sepanjang perjalanan ke Madinah, kamj hanya mempunyai sekali tempat berhenti untuk solat jamak ( Zuhur dan Asar) serta makan tengahari.


Ketibaan di bumi Yatrib (Madinah Al-Munawarah)


Alhamdulillah perjalanan kami agak lancar dan sekitar jam 3 kami telah mula memasuki sempadan Madinah. Selepas pemeriksaan kami diberikan makanan ringan sekotak seorang yang berisi biskut, air mineral, roti dan kurma. Sepanjang menunaikan ibadah Haji, memang tradisi d sini ada satu badan yang menguruskan pembahagian makanan secara percuma. Tapi bagi kami sebilik jarang atau tidak pernah beratur di Makkah untuk mendapatkan hadiah percuma tersebut. Bukan apa, pada saya ada yang lebih layak untuk menerima pembahagian makanan tersebut, bukan berlagak tapi lebih baik  ianya diberikan kepada mereka yang susah mencari makanan dan sebagainya. Bagi kami makan yang sudah diberikan oleh Tabung Haji mencukupi makan tengahari dan malam. Moga goodies percuma ini lebih baik diterima oleh jemaah dari negara lain seperti Afrika, Kyrgyzstan , India dan Pakistan.

Begitulah berakhirnya perjalanan saya di Makkah Al-Mukaramah. Bumi yang menyaksikan kebangkitan Islam, bumi yang menyaksikan perjuangan Nabi s.a.w dalam membimbing umat Islam ke arah Islam, dan bumi yang menyaksikan perHijrahan Nabi s.a.w dari Darul Kufur ke Darul Islam. Moga Allah merahmati dan redhai masa-masa aku disini dan menerima segala amal ibadah. Bukanlah ganjaran 100,000 kali ganda yang dikejar namun semata-mata redha Allah s.w.t yang dipohon.

Kami berada di Makkah dari 11 Sept - 21 October 2014 (41 hari). Lebih dari satu bulan kami menetap di bumi barakah ini, moga ini bukanlah masa yang terakhir buat kami semua dari KT-37 untuk berada di Tanah Haram Makkah , moga dijemput lagi oleh Allah s.w.t bagi kami menunaikan umrah mahupun ibadah Haji. Ameen Ya Rabbal Alamin.

Insyallah penulisan seterusnya akan dikongsikan pengalaman-pengalaman baru sepanjang di bumi Madinah tempat bersemadinya tubuh seorang manusia yang agung.

Sekian, 


www.iskandar581.blogspot.com


Anda mungkin juga berminat untuk membaca siri-siri lain Pejalan Haji seperti dibawah;


Pejalan Haji Part 1-Penerbangan dan Ketibaan di Tanah Haram
Pejalan Haji Part 2-Niat Umrah dan Ketibaan di Hotel Land Premium.
Pejalan Haji Part 3-Pengalaman Umrah Pertama Yang Mengujakan (Tawaf dan Saie)
Pejalan Haji Part 4-Imam Masjidil Haram 2014 dan Saf Hadapan
Pejalan Haji Part 5-Kisah Sepatu dah Hajarul Aswad (Batu Hitam)
Pejalan Haji Part 6-Perkakasan Elektrik dan Dobi
Pejalan Haji Part 7-Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 1
Pejalan Haji Part 8- Perihal Jumaat 1435H dan Haji
Pejalan Haji Part 9- Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 2
Pejalan Haji Part 10- Hari Yang Dinanti Sudah Tiba!
Pejalan Haji Part 11- Kisah Wukufku di Arafah
Pejalan Haji Part 12- Kisah bermabit di Muzdalifah
Pejalan Haji Part 13 - Kisah Bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 1
Pejalan Haji Part 14- Kisah bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 2
Pejalan Haji Part 15- Kisah bermabit di Mina dan Melontar Jamrah Edisi 3


Warkah Dari Bumi Madinah Al-Munawarah 

25 October 2014

1 Muharram 1436H

Post a Comment

Previous Post Next Post