Asslamualaikum,

Entri berikutnya saya ingin berkongsi beberapa tips berharga untuk masuk ke kawasan Rawdhah. Di mana ia tempat istimewa di Masjid Nabawi dan di kenali juga sebagai kawasan karpet Hijau. Kawasan Raudhah merupakan kawasan dari Mihrab Rasulullah ke Rumah Aisyah dan dimana kini tempat Nabi Muhammad s.a.w (kini Makam Baginda) .

Rasulullah SAW bersabda “Antara kamarku dan mimbarku terletak satu bagian dari taman surga” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Gambar kenangan di sekitar kawasan peperangan Uhud. Di hadapan maqam para syuhada Uhud.

Kawasan tersebut merupakan diantara tempat makbul untuk berdoa malahan bagi yang datang ke Masjid Nabawi pasti akan ke Raudhah untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat. Malahan ada yang sanggup datang awal akan ke sana untuk duduk dan menunggu waktu solat fardhu. Betapa besar fadhilat di Raudhah ini dan ia menjadi rebutan ramai di kalangan jemaah yang hadir di Masjid Nabawi.

Baiklah untuk dipermudahkan cerita, berikut beberapa tips untuk masuk ke Raudhah dan insyallah pasti anda akan dapat masuk dan menunaikan solat sunat sekurang-sekurangnya 2 rakaat dan maksimum 4 rakaat.

Tempat Rawdah yang di sunatkan untuk bersolat dan berdoa. Doa amat mustajab di sini, maka raihlah tempat untuk beribadah kepada Allah di sini.

  1. Solat Maqrib di bahagian hadapan dalam masjid dan berdekatan dengan pintu keluar ke Babussalam.
  2. Selesai solat Maqrib boleh masuk ke pintu tepi sebelah Pintu Babussalam. Yakni pintu kecil yang menempatkan jemaah solat sebelum dapat masuk ke Raudhah.
  3. Untuk pengetahuan, pintu kecil ini akan ditutup bila dekat waktu solat dan juga selepas solat Isyak.
  4. Maka kesempatan untuk masuk selepas waktu Maqrib.
  5. Selepas Isyak anda perlu menunggu di kawasan tersebut sekitar 20 minit sebelum pintu ke Raudhah di buka. Jadi sementara menanti eloklah mengaji Al-Quran. 
Jadi ini adalah langkah-langkah untuk masuk Raudhah, anda tak perlu berebut sebaik masuk ke kawasan menunggu ke Raudhah, sampaikan salam kepada Rasulullah dan tunggu giliran. Anda pasti akan dapat solat di kawasan karpet hijau.

Namun, perlu diperhatikan sebelum masuk ke kawasan menuju Raudhah, pastikan anda tahu di mana kawasan Raudhah. Kerana acap kali saya perhatikan ada di kalangan jemaah yang bersolat dikawasan bukan Raudhah yakni di depan mimbar khatib membaca khutbah. Malahan rakan sebilik saya juga terkeliru dan akhir bersolat dikawasan tersebut. 

Dalam masa-masa tertentu, akan ada sheikh yang memberi ceramah sebelum masuk ke kawasan Raudhah, malahan beliau juga akan menunjukkan kepada jemaah tempat Raudhah dan menolak agar jemaah pergi kawasan tersebut dan bukannya bersolat di depan tempat yang salah.

Selain itu beberapa peringatan lain adalah, janganlah terlalu lama di dalam Raudhah andai diberi keinzinan-Nya untuk anda. Cukuplah bersolat maksimum dengan 2 atau maksimum 4 rakaat dan berdoalah ketika sedang bersujud. Dan pohonlah kepada Allah agar memberi izin-Nya lagi untuk masuk lagi akan datang.


Alhamdulillah sepanjang saya di Madinah ini, hampir setiap hari saya dapat masuk ke dalam kawasan Raudhah ini. Malahan kadang-kadang dapat menunaikan solat 4 rakaat (2-2). Inilah dia taman syurga yang ada di Masjid Nabawi. Bagi yang sampai rebutlah untuk masuk ke dalam kawasan Raudhah, moga kita dipermudahkan nanti untuk masuk ke dalam syurga Allah s.w.t.

Janganlah kita hanya sibuk membeli belah namun tidak mahu untuk berusaha masuk ke dalam kawasan Raudhah yang mustajab untuk berdoa. Ayuh tunjukkan usaha kita moga Allah permudahkan kita untuk masuk ke dalam syurganya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Secara keseluruhannya untuk masuk Raudhah selepas Isyak, kami hanya  sampai 8.30 malam dan sudah selesai menunaikan solat sunat 2 rakaat. Ada yang memberi pendapat untuk berusaha selepas Asar, namun saya sudah mencuba dan agak sukar, kerana kebanyakan jemaah yang masuk itu untuk duduk di sana sehingga waktu Maqrib. Dan yang paling mudah dan tidak perlu berebut-rebut adalah selepas solat Isyak. 

Berusaha untuk menunaikan solat 2 rakaat di Raudhah. Dan pohonlah kepada Allah moga dipermakbulkan segala permintaan kita dan mendapat haji mabrur. Bahkan dari itu, moga kita terus istiqamah dalam jalan yang lurus yakni Islam. Untuk berdoa di Raudhah adalah dengan berdoa ketika sujud yang terakhir dalam solat sunat. Jika anda ingin berdoa selepas sempurna solat sunat dengan menadah tangan memang tidak akan  dibenarkan oleh askar-askar yang menjaga raudhah.

Inilah yang saya lakukan sepanjang berada di Madinah, berdoa semasa melakukan sujud yang terakhir. Moga tips-tips dapat membantu teman-teman untuk masuk ke kawasan Raudhah dan berada di taman syurga di bumi. Moga Allah seterusnya mengurniakan kita dengan syurga-Nya, Allahuakbar!!

Di kilang Pencetakan Al-Quran di Madinah Al-Munawarah.


Ini merupakan di antara penulisan dan perkongsian terakhir saya sepanjang berada di bumi yang menjadi makam manusia teragung Muhammad s.a.w. Terasa sedih kerana telah berada dihujung perjalanan Haji saya di Makkah dan Madinah, kami akan bertolak ke Jeddah pada 30.10.14 dan flight pada sebelah malam 12.10 malam 31.10.14. Penerbangan pulang akan mengambil masa sekitar 8 jam dan dihidangkan 2 kali makanan.

Insyallah saya akan menyambung penulisan saya dalam siri Pejalan Haji Part 20 dengan tajuk Kepulangan yang dinanti bersama pengalaman 50 hari yang berharga dan tidak ternilai. Moga Allah menjemput lagi kami jemaah yang KT-37 dimasa yang akan datang.

Sekian.

www.iskandar581.blogspot.com

Anda mungkin juga berminat untuk membaca siri-siri lain Pejalan Haji seperti dibawah;

Pejalan Haji Part 1-Penerbangan dan Ketibaan di Tanah Haram
Pejalan Haji Part 2-Niat Umrah dan Ketibaan di Hotel Land Premium.
Pejalan Haji Part 3-Pengalaman Umrah Pertama Yang Mengujakan (Tawaf dan Saie)
Pejalan Haji Part 4-Imam Masjidil Haram 2014 dan Saf Hadapan
Pejalan Haji Part 5-Kisah Sepatu dah Hajarul Aswad (Batu Hitam)
Pejalan Haji Part 6-Perkakasan Elektrik dan Dobi
Pejalan Haji Part 7-Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 1
Pejalan Haji Part 8- Perihal Jumaat 1435H dan Haji
Pejalan Haji Part 9- Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 2
Pejalan Haji Part 10- Hari Yang Dinanti Sudah Tiba!
Pejalan Haji Part 11- Kisah Wukufku di Arafah
Pejalan Haji Part 12- Kisah bermabit di Muzdalifah
Pejalan Haji Part 13 - Kisah Bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 1
Pejalan Haji Part 14- Kisah bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 2
Pejalan Haji Part 15- Kisah bermabit di Mina dan Melontar Jamrah Edisi 3
Pejalan Haji 16- Kisah Tawaf Wada dan Musafir Ke Madinah
Pejalan Haji 16- Kisah Tawaf Wada dan Musafir Ke Madinah 
Pejalan Haji Part 17- Ziarah dalam Al-Masjid Al-Nabawi dan Perkuburan Baqi'.
Pejalan Haji Part 18- Ziarah luar sekitar Madinah Al-Munawarah

Post a Comment

Previous Post Next Post