Assalamualaikum,

Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” 
(Surah Al-Imran, ayat 97)

Ini merupakan entri saya terakhir berkenaan perjalanan ibadah Haji saya untuk tahun 2014 dengan Pejalan Haji Part 20 di hari terakhir untuk tahun 2014. Esok kita akan berada dalam tahun Masihi 2015. All the best to all my friends and family...moga kita semua terus dirahmati Allah s.w.t. Tahun 2014, memberi kenangan terindah buat saya secara peribada sebagai seorang Muslim, moga Allah terus memberi kekuatan untuk berada di jalan-Nya.



Penulisan ini hanya dapat dicoretkan setelah hampir sebulan pulang dari Jeddah. Perjalanan haji kami bagi KT-37 yang bermula dari Malaysia ke Jeddah dan selepas ibadah haji kami bertolak ke Madinah, dan untuk ke Malaysia kami menaiki penerbangan dari Jeddah. Rumusan perjalanan kami seperti dibawah;

Malaysia -Jeddah- Makkah (41 hari)-Madinah(9 hari)-Jeddah-Malaysia

Begitulah rumusan perjalanan kami sepanjang berada di tanah Arab. Keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan, jemputan dari Allah untuk datang ke tempat di beri keberkatan oleh-Nya. Selain kami dapat menziarahi makam Nabi Junjungan kita Muhammad s.a.w. Kesempatan yang diberikan ini tidak dilepaskan memandangkan ajal kita semua tidaklah ditentukan oleh kita sendiri melainkan dari Allah s.w.t. Maka nasihat saya buat teman-teman yang masih belum mendaftar untuk menunaikan haji, segerakanlah kerana kita tidak pasti bila ajal kita.

Bagi mereka yang telah mendapat peluang untuk menunaikan haji, janganlah ditolak kerana kita tidak tahu bila kita sakit mahupun mati. Boleh sahaja andai kita menolak untuk pergi tahun berikutnya di sebabkan apa jua alasan,  kita ditimpa sakit tahun berikutnya yang tidak memungkinkan kita untuk pergi. Bahkan penulisan ini juga saya tujukan buat anak-anak saya untuk mereka baca kelak setelah mereka dewasa. Barangkali saya tidak dapat bersama untuk mengajar mereka tentang ibadah haji, namun insyallah penulisan ayahnya ini menjadi panduan buat mereka agar segera melaksanakan rukun kelima Islam ini.

Gambar kenangan Kaabah yang masih segar dalam ingatan. Moga diizinkan oleh Allah untuk kembali ke sini suatu hari nanti. Biarpun jauh di mata, tetap dekat di hati.

Pelaksanaan ibadah Haji bukanlah sesuatu yang mudah malahan memerlukan kesabaran dan kekuatan fizikal yang tinggi, dan boleh sahaja dikalangan umat Islam yang melatah dan kurang bersabar. Ibadah ini merupakan satu ruang atau kem dimana Allah mengajar kita untuk menjadi muslim yang terbaik dan mengingatkan kita akan kebesaran Allah s.w.t. Mana tidaknya ketika berihram 13 pantang perlu dijaga dan diantaranya perlu mengelakkan mencabut bulu dari badan. Sebelum ini kita sambil lewa mencabut bulu rambut tanpa memikirkan keagungan-Nya mencipta rambut yang mustahil bagi manusia untuk menirunya.

Biarpun pelbagai ciptaan moden yang telah dilakukan oleh manusia namun masih sahaja ada kelemahan kita yang tidak mampu untuk dirungkaikan. Mana tidaknya, ada dikalangan manusia yang bermegah seolah mereka mampu untuk melawan ciptaan Allah s.w.t. Berbalik kepada perjalanan kami dari Madinah ke rumah transit di Jeddah sebelum ke lapangan terbang Jeddah. Bagi beg besar kami telah diambil 4 hari awal dari tarikh penerbangan yakni hari Isnin dan penerbangan kami pada hari Khamis. Maka segala aktiviti shopping perlu dilakukan sebelum beg dihantar dan maksimum seorang jemaah hanya 30kg.

Bagi mengelakkan beg dengan muatan berlebihan kami telah membeli alat timbangan beg yang berharga SR15 dan dikongsi 3 orang yakni Abg Zul, Mior dan saya. Kami gunakan untuk menimbang beg dan seterusnya mengukur berapa banyak lagi barang yang boleh diletakkan. Alhamdulillah kesemua kami beg kurang 30kg dan beg saya ketika ditimbang untuk penghantaran cukup-cukup 30 kg. Daftar masuk beg besar ini dilakukan di hotel kami Movenpick dan kakitangan MAS turut ada ketika kami menghantar beg. Dan setelah daftar masuk beg kami, kami akan diberikan tag beg tersebut untuk rujukan ketika sampai di Malaysia kelak.

Persahabatan dan kerjasama

"Engkau menyembah Allah swt dan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan menyambung tali silaturahmi"

(HR Bukhari dan Muslim)


Antara perkara yang amat seronok sepanjang di tanah Arab kami 3 orang (Abg Zul, Abg Mior dan Saya) kami dari Makkah, di Arafah, Mina dan Madinah pasti akan dapat samada bilik yang sama mahupun di Arafah khemah yang sama. Perkenalan awal di dalam penerbangan pastinya detik awal perkenalan dan untuk pengetahuan pembaca selalunya flight pergi, kalau ketika duduk dalam satu barisan, kebarangkalian merekalah rakan sebilik kita. Alhamdulillah kami memang satu kepada dan rakan sebilik lain di Makkah Pak Ibrahim dan Abg Ajis). Masing-masing memahami kehendak masing-masing dan tiada yang bersifat selfish. Itulah ikatan persahabatan yang dibina kami sepanjang di Makkah dan Madinah. Masing-masing cuba untuk melengkapi individu yang lain serta saling tolong menolong.

Untuk mereka yang bakal pergi, tanamlah sifat sedemikian dan tinggalkanlah sikap-sikap negatif dalam diri kita sebelum pergi menunaikan ibadah Haji. Perubahan bukan setelah pergi dan kembali dari tanah Arab tapi perubahan itu perlu dilakukan sebelum kita ke tanah Arab. Contohnya solat berjemaah di masjid ataupun surau, latihan itu perlu dilakukan di Malaysia agar kita tidak merasakan sesuatu bebanan kelak di sana. Saya dapat perhatikan untuk pakcik-pakcik yang di Malaysianya imam atau bilal, kerajinan mereka untuk bersolat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi amatlah luar biasa, kadang-kadang saya golongan yang dikatakan muda ini pun tidak mampu untuk menandingi mereka dalam beribadah, mana tidaknya saya ditimpa demam, serta selsema dan batuk sepanjang berada di Makkah. Gagal untuk mencapai matlamat melaksanakan umrah lebih dari 5 kali.


Namun Alhamdulillah sepanjang di Madinah saya dikurniakan kesihatan oleh Allah swt. Dan baki 3 hari saya di Madinah setelah beg besar dihantar masuk, kami berusaha untuk masuk ke Raudhah dan terus menziarahi Makam baginda Rasulullah s.a.w. Betapa sedihnya kerana kini telah tiba untuk kami pulang ke Malaysia. Teman-teman seperjuangan semasa di sini terpaksa berpisah dan meneruskan kembali aktiviti masing-masing di Malaysia . Moga haji mabrur itu terus melekat pada dari kami dan Allah melindungi kami dari perbuatan maksiat mahupun lagha. Selain itu, agar kami tidak berbangga diri dengan gelaran Haji dan sebaiknya menjadi contoh buat teman-teman serta jiran sekampung.

Selamat tinggal Ya Rasulullah Moga Ditemukan Lagi

Pada hari Khamis 30 October perjalanan awal pagi sekitar jam 3 pagi dari Madinah ke Madinatul hujjaz @ rumah transit (Madinatul Hujjaj) sementara kami menunggu penerbangan  ke Malaysia menerusi Jeddah. Rumah transit ini di dalam bandar Jeddah dan konsep seperti dorm dan katil double decker. Di sini kami bolehlah berehat sekitar 8 jam sebelum bas membawa kami ke airport Jeddah. Penerbangan kami ke Malaysia adalah jam 12.00 malam waktu tempatan.

Gambar bersama-sama rakan sebilik di sekitar Kota Madinah Al-Munawarah.

Dirumah transit ini disediakan makan tengahari dan makan malam buat kami. Pada saya rumah transit ini selesa untuk berehat biarpun bersifat dorm, dari kita perlu menanti di airport lebih baik di dorm yang mempunyai katil dimana jemaah bolehlah berehat-rehat serta mandi. Disini juga terdapat ramai kakitangan TH, bagi AJK di Makkah kebanyakan dari mereka tinggal di sini memandangkan kawasan yang luas dan memudahkan mereka untuk melakukan urusan administrasi. Kami bergerak ke airport setelah selesai solat Maqrib dan makan malam, jelas di riak muka masing-masing jemaah sirna  kegembiraan untuk bertemu sanak saudara, anak,ibu, ayah dan rakan-rakan. Masing-masing juga telah mengenakan pakaian yang baru dan khemas, dan perjalanan kami dari rumah transit dan airport Jeddah semuanya berjalan lancar Alhamdulillah. Bagi saya juga tidak sabar untuk bertemu isteri dan juga anak-anak Waqiyuddin dan Falah serta ibu tercinta Azizah dan juga sanak saudara semuanya.

Seperti biasa di dalam penerbangan kami dihidangkan dengan dua kali makanan berat yakni 2 jam sebelum penerbangan dan sebelum ketibaan. Solat Subuh juga di dalam pesawat penerbangan memandangkan kami tiba di Malaysia waktu pagi. Sebagaimana yang telah diajar kami menunaikan solat Subuh sambil duduk di kerusi dengan wudhuk saya telah ambil siap-siap sebelum penerbangan di Jeddah. Selesai solat terus melelapkan mata memandangkan masa perjalanan yang masih lama selain kepenatan dari Madinah ke rumah transit Jeddah dan seterusnya ke Airport Jeddah yang masih terasa. Alhamdulillah pengurusan pulang kami berjalan lancar dan tiada sebarang delay atau kelewatan, tahniah buat pihak Tabung Haji yang telah memberi pengurusan yang terbaik kepada kami. Jelas memang bagi rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah haji menerusi TH tidak perlu memikirkan masalah-masalah lain dan dapat menumpukan sepenuh perhatian buat ibadah haji. Moga TH akan terus berkembang dan membantu orang Islam Malaysia menunaikan ibadah ini dan moga kalian mendapat balasan setimpal dari Allah s.w.t.

Ketibaan kami juga di Malaysia sebagaimana yang dijadualkan sekitar 2 petang, saya dijemput oleh kak lia dan keluarga, ibu, Abg Zam dan ahli keluarga saya ( Isteri dan anak-anak) . Pemeriksaan passport dilakukan di balai pelepasan domestik dan juga tiba di kawasan domestik. Namun sedikit lama menanti beg besar yang di telah check-in ke dalam cargo memandang jumlah beg yang banyak. Air Zam-zam diberikan di kawasan pengambilan beg dan setiap jemaah mendapat 5 liter air untuk dibawa pulang. Setelah selesai mengambil beg besar terus menuju keluar dan dapat diperhatikan ramai ahli keluarga yang telah sedia menanti di luar dan masing-masing tidak sabar untuk menyambut ketibaan ahli keluarga mereka. Alhamdulillah akhirnya saya juga bertemu dengan keluarga saya setelah hampir 50 hari berkelana di bumi bertuah dan bumi lahirnya para Nabi.

Perjalanan kami selama 50 hari itu merupakan satu tempoh yang lama dan mengumpul 1001 pengalaman yang tidak ternilai. Moga Allah memberikan kesempatan kepada kami untuk datang ke rumah-Nya lagi. Dan saya mohon maaf andai penulisan saya dari entri 1-20 ini ada melukai hati mana-mana pihak mahupun tersalah fakta atau cerita. Sesungguhnya apa jua penulisan saya disini adalah sekadar perkongsian serta rujukan buat keluarga saya semuanya serta seluruh umat Islam. Moga dengan penulisan ini membantu jemaah akan datang mendapat Haji yang mabrur. Amin Ya Rabbal Alamin.

31 Disember 2014

www.iskandar581.blogspot.com

Anda mungkin juga berminat untuk membaca siri-siri lain Pejalan Haji seperti dibawah;

Pejalan Haji Part 1-Penerbangan dan Ketibaan di Tanah Haram
Pejalan Haji Part 2-Niat Umrah dan Ketibaan di Hotel Land Premium.
Pejalan Haji Part 3-Pengalaman Umrah Pertama Yang Mengujakan (Tawaf dan Saie)
Pejalan Haji Part 4-Imam Masjidil Haram 2014 dan Saf Hadapan
Pejalan Haji Part 5-Kisah Sepatu dah Hajarul Aswad (Batu Hitam)
Pejalan Haji Part 6-Perkakasan Elektrik dan Dobi
Pejalan Haji Part 7-Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 1
Pejalan Haji Part 8- Perihal Jumaat 1435H dan Haji
Pejalan Haji Part 9- Kisah Ziarah Makkah dan Hudaibiyyah Edisi 2
Pejalan Haji Part 10- Hari Yang Dinanti Sudah Tiba!
Pejalan Haji Part 11- Kisah Wukufku di Arafah
Pejalan Haji Part 12- Kisah bermabit di Muzdalifah
Pejalan Haji Part 13 - Kisah Bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 1
Pejalan Haji Part 14- Kisah bermabit di Mina dan melontar jamrah Edisi 2
Pejalan Haji Part 15- Kisah bermabit di Mina dan Melontar Jamrah Edisi 3
Pejalan Haji 16- Kisah Tawaf Wada dan Musafir Ke Madinah
Pejalan Haji 16- Kisah Tawaf Wada dan Musafir Ke Madinah 
Pejalan Haji Part 17- Ziarah dalam Al-Masjid Al-Nabawi dan Perkuburan Baqi'.
Pejalan Haji Part 18- Ziarah luar sekitar Madinah Al-Munawarah
hPejalan Haji Part 19- Tips masuk ke dalam kawasan Rawdhah/Raudhah

Post a Comment

Previous Post Next Post